Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Qazaf: Jamil Khir enggan ulas kerana libatkan polis
Diterbitkan:  Mar 26, 2011 3:35 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau memilih untuk mendiamkan diri dalam  isu-isu yang didakwa pihak tertentu sebagai qazaf (tuduhan zina) kerana ia melibatkan pihak berkuasa seperti polis.

NONE Katanya dalam hal itu pihak-pihak yang berkaitan perlu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Mereka kata saya mendiamkan diri. Kalau rasa itu tuduhan bawa kepada polis dan mahkamah yang berkaitan. Hal ini perlu dilaporkan kepada polis," katanya kepada pemberita selepas meraikan konvoi motosikal Pemuda Umno Padang Besar, Perlis di Alor Setar hari ini.

Sebuah akhbar yang dikaitkan dengan pembangkang, Fitrah dalam laporannya mengatakan Jamil Khir dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim tidak bersuara dalam isu qazaf seperti tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isu video lucah palsu yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

Sementara itu, Jamil Khir berkata fatwa berbeza antara negeri-negeri dalam sesuatu perkara bukanlah sesuatu yang mengelirukan tetapi bagi memperlihatkan pandangan yang luas dalam isu berkaitan.

Katanya fatwa bukanlah undang-undang, jadi ia tidak akan sampai ke tahap menimbulkan konflik.

Ketika berucap pada majlis itu, Jamil Khir yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Kedah berkata trend kemenangan BN dalam pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini menunjukkan pengundi muda sudah kembali kepada BN.

"Walaupun beberapa pilihan raya kecil yang awal selepas Pilihan Raya Umum 2008 berpihak kepada pembangkang tetapi kini sejak akhir-akhir ini BN pula yang menang. Keputusannya sekarang dah jadi 8-8...seri," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS