Tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis dan kekecohan berlaku semasa ceramah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak malam tadi.
Kira-kira 10 anggota polis bertindak menghalang ketua umum
PKR itu daripada berucap lebih daripada 15 minit yang dibenarkan.
Anwar ketika itu sedang berucap di majlis pelancaran kempen DNA (Datuk Najib Altantuya) yang dihadiri kira-kira 1,500 orang, kebanyakannya penyokong PKR.
Hadirin tidak puashati dengan arahan supaya Anwar berhenti berucap, dan keadaan menjadi kecoh. Kerusi, botol air, bata dan kayu kelihatan dibaling ke arah anggota polis anti-rusuhan.
Pada satu ketika, apabila anggota polis menghampiri pentas, para penyokong mula berkumpul di situ dan enggan memberi laluan.
Anggota Unit simpanan persekutuan (FRU) kemudiannya terpaksa
menggunakan perisai untuk menolak mereka yang menutup laluan.
Bagaimanapun, Anwar dan timbalannya Azmin Ali, yang juga ahli parlimen Gombak, dibawa beredar dari pentas, tetapi orang ramai yang kelihatan marah tetap berkumpul di situ.
Terpaksa berundu r
Anggota polis akhirnya terpaksa berundur apabila hadirin menjadi agresif.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin berkata tiga orang yang ditahan ialah Maslan Abdul Raus dan Helmi Rizal manakala seorang lagi yang belum dikenali, dan masing-masing dibawa ke balai polis Hulu Kelang dan ibupejabat polis Ampang.
Anwar, yang menghadiri satu lagi majlis makan malam PKR di Kuala Selangor, tiba 30 minit sebelum kekecohan itu berlaku.
Para hadirin berdiri menyambut ketibaan beliau kerana mereka mahu mendengar penjelasannya ekoran pendedahan terbaru video seks yang dikaitan dengannya.
Pada ucapannya itu, Anwar mengingatkan perdana menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor supaya tidak menggunakan taktik kotor tetapi lawan secara bermaruah di gelanggang pilihan raya.
"Dia guna media, kecam kita dari pagi sampai petang sampai malam, Kita nak jawab, tak boleh, konon tidak ada permit. Saya tak salahkan OCPD, dia ikut arahan saja.
“Saya salahkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan isteri dia Rosmah Mansor yang takut berdepan dengan kita," kata Anwar.
Tunggu pilihan raya
"Saya mahu beritahu Najib supaya tunggu pilihan raya nanti. Jangan takbur," tambah Anwar kepada laungan takbir dan reformasi oleh penyokong Pakatan.
Anwar berkata pihak polis dan Najib malah seluruh rakyat tahu siapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, pengerusi Risda dan bekas Ketua Menteri Melaka yang mengaku mendalangi penayangan video lucah fitnah untuk mengaibkannya di Hotel Seri Carcosa Isnin lalu.
Rahim terpalit dengan tuduhan merogol seorang pelajar sekolah dan dakwaan terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka pada tahun 1994.
"Sekarang ini video seks pula. Saya nak tanya, polis tak tahu ke siapa Rahim Thamby Chik? Tak tahu ke kes dia dulu di Melaka? Orang ini nak jadi dewa, saya pulak kena jadi penjenayah," katanya.
"Saya salahkan Najib dan Rosmah kerana tidak berhadapan dengan saya. Orang rasuah dan penjenayah diangkat. Kita mahu sistem yang demokratik. Mereka mahu alih pandangan kita.
“Kita bukan bodoh. Sebab apa dia (Datuk T) tidak tangkap, sebab dia pencacai Umno," kata Anwar dengan marah.
Ketua pembangkang itu bagaimanapun terpaksa meringkaskan ucapannya itu kerana campurtangan polis untuk menyuraikan majlis ceramah berkenaan.
Namun beliau sempat memberi peringatan kepada Najib supaya bertaubat dan menghentikan penggunaan amalan keji untuk mencari kelebihan politik.
"Apa jenis pemimpin ini. Saya hendak tanya Rosmah, tanya Najib, kamu ada anak, kamu ada bini, kamu ada keluarga, boleh orang aibkan keluarga kamu begitu rupa. Manusia jenis apa macam ini?" tanya Anwar dengan nada kesal.