Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan bahawa Umno tidak terlibat dalam rakaman video seks yang yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang.
"Soalnya sama ada rakaman itu benar atau tidak, sebab kalau benar maknanya ada satu perbuatan mungkar yang berlaku. Itu perkara utama yang perlu ditentukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibunegara.
"...sebab ada pihak condong untuk bangkitkan soal konspirasi dan sebagainya, jadi ini mengalih dari soal pokok sama ada berlaku atau tidak perbuatan yang mungkar itu dan dirakamkan atau tidak," tambahnya.
Najib yang juga presiden Umno berkata apa yang penting adalah untuk menyiasat kesahihan dan ketulenan video itu kerana parti berpegang kepada prinsip kebenaran sama ada perbuatan itu benar-benar berlaku dan dirakamkan.
Mengenai desakan pihak tertentu agar suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat video tersebut, Najib berkata perkara itu terpulang kepada kerajaan.
Beliau berkata polis perlu membuat siasatan rapi dan profesional bagi menentukan ketulenan video itu agar rakyat yakin dengan laporan hasil siasatan yang akan dibentangkan kepada kerajaan nanti.
"Kebenaran dan kesahihan yang mesti ditentukan terutama oleh polis melalui siasatan rapi lagi profesional, dan kalau ada mereka yang pakar dalam hal ini, tentu (ia) boleh ditentukan oleh pihak polis bagi menyokong siasatan mereka," katanya.
Ketika ditanya mengenai persepsi yang mengatakan bahawa polis tidak adil dalam menjalankan siasatan, Najib berkata polis perlu bertindak secara profesional dan menggunakan khidmat pakar bagi menyiasat sama ada video itu diubah secara teknikal atau tidak.
"Kalau ada perbuatan untuk mengubah video itu secara teknikal, perkara ini amat mudah dikesan. Kalau nak 'ubahsuai' video ini ia cukup mudah dikesan dan dapat ditentukan," katanya.
Semalam bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan seorang ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah tampil memberi keterangan mengenai video itu di Ibu pejabat Polis Bukit Aman serta menyerahkan rakaman video itu serta seutas jam tangan Omega kepada pihak polis.
Dalam pada itu Najib berkata mesyuarat pada malam ini juga berbincang mengenai jumlah keahlian terkini Umno yang mencapai 3,233,586 orang.
Mengenai hukuman penggantungan yang dikenakan kepada ADUN Usukan di Sabah, Datuk Japlin Akim pada 2009 kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang, Najib berkata Majlis Tertinggi bersetuju melepaskan Japlin daripada hukuman itu.
"Mulai hari ini, beliau boleh kembali kepada Umno dengan hak sepenuhnya sebagai anggota," katanya.
Selain itu, Najib berkata Majlis Tertinggi bersetuju untuk mengadakan sambutan Ulangtahun ke-65 Umno pada 11 Mei ini.
"Majlis akan dimulakan dengan Solat Maghrib, bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Solat Isyak seterusnya Umno akan mengadakan satu majlis makan malam serta upacara menaikkan bendera," katanya.
- Bernama