Seorang bekas pengawal peribadi mendakwa kontroversi video seks politik yang terbaru muncul kerana ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah berang dengan ketua umum PKR yang enggan membalas ‘jasanya’.
Mohamad Mahti Abdul Rahim, yang pernah berkhidmat dengan seorang menteri mendakwa Eskay sakit hati kerana Anwar enggan menjadi saksi dalam kes saman sivil yang membabitkan projek ‘jambatan bengkok’.
Mahti, seorang anggota Unit Tindakan Khas polis yang kemudiannya berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada bekas timbalan menteri dalam negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, adalah antara saksi dalam kes berkenaan.
Dalam keterangannya, Mahti berkata Megat Junid telah menyerahkan surat tawaran daripada Unit Perancangan Ekonomi kepada Eskay bagi membantu projek berkenaan diserahkan kepada Merong Mahawangsa Sdn Bhd.
Eskay menyaman Merong Mahawangsa dan pengarahnya Datuk Yahya Abdul Jalil sebanyak RM20 juta kerana melanggar syarat kontrak.
Tambak Johor
"Hanya selepas itu, saya tahu Eskay ditawarkan projek bagi membina jambatan baru menggantikan tambak Johor,” katanya kepada mahkamah.
Menurut Mahti, beberapa hari sebelum tayangan video lucah di hotel Carcosa Seri Negara, Eskay berjumpa dengannya dan memohon sama ada beliau boleh mendapatkan perkhidmatan empat anggota Unit Tindakan Khas (UTK).
Namun, Mahti berkata beliau tidak mahu terbabit dengan apa yang dirancang oleh Eskay dan memaklumkan kepada ahli perniagaan itu beliau enggan mendengar sebarang butiran perkara tersebut.
Mahti juga berkata ahli perniagaan yang mempunyai hubungan yang meluas itu memberitahunya tayangan video lucah itu mendapat sokongan orang ‘nombor satu’.
“Dia bagitau dia buat ini untuk "number 1" itu dari mulut dia sendiri. Saya tak percaya dan tak mahu terlibat. ...dia nak cerita keburukan Anwar tapi saya tak nak dengar, takut terjebak," katanya.
Mahti bagaimanapun berkata beliau tidak mempercayai Eskay dan berpendapat Najib tidak terbabit dengan video seks itu seperti yang didakwa oleh Eskay.
Sayang Najib
“Saya sayang Najib dan takut dia ni cuba nak kaitkan Najib,” katanya.
Menurut Mahti, Eskay juga cuba memburuk-burukkan bekas timbalan perdana menteri itu tetapi tidak diendahkannya.
"Lepas saya beri keterangan kita ada keluar makan dia marah-marah pasal Anwar, sebab tak mau jadi saksi dia.
“Dia maki hamun Anwar, kata apa jadi pun saya akan jatuhkan Anwar. Dia kata Anwar ada ambil duit yang sepatutnya untuk dia.
“Dia kata dia dah banyak tolong Anwar. Anwar tak guna, sedangkan dia tolong macam-macam. Dia kata dia bawa Anwar ke Singapore guna kereta kerabat diraja Johor pada tahun 90an pergi buat DNA. Shamsidar dan anak-anak semua dia bawa tiba-tiba Anwar tak mau bantu dia," katanya dengan panjang lebar.
Menurut Mahti lagi, Eskay juga membawanya ke rumah bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.
“Shuib nampak keberatan. Orang tua orang baik, saya kenal dia,” katanya.
Ditanya oleh wartawan sama ada beliau diminta oleh Anwar bagi mengadakan sidang akhbar hari ini, Mahti berkata tidak ada sesiapa yang mengarahkannya berbuat demikian.
“Lillahi Taala saya tak jumpa Anwar atau Anwar (ada) panggil saya. Apa saya buat ini sebab dia manusia tak kenal budi... pembohong besar. Tak ada siapa yg suruh,” katanya.
Selain Eskay dan Shuib, turut terbabit adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.