Isu hak tanah adat atau NCR yang melibatkan hampir semua kaum di Sarawak gagal ditangani kerajaan BN walaupun pelbagai janji ditaburkan menjelang pilihanraya negeri pada 16 Apil ini, kata pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.
Beliau yang dipetik dalam rancangan Terus Terang , terbitan TV Selangor berkata, walaupun NCR adalah isu yang mendesak kepada parti pemerintah dalam memenangkan BN, namun ia umpama sejarah hitam yang tidak mampu dipadamkan oleh mereka.
"Kalau kita lihat di kawasan pedalaman, banyak kerusi di kawasan ini adalah kerusi yang mewakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 semuanya.
“Bagi Melanau dan Melayu ada 26. Ertinya di seluruh Sarawak, bukan hanya satu kawasan sahaja yang terlibat dengan masalah ini. Tapi (juga) di Sematan, Lundu, Sibu, Miri, Kelimau dan Lawas. Itu sebabnya menjadi isu yang panas," katanya.
Menurut Baru, terdapat lebih 200 kes tanah adat yang sudah dikemukakan di mahkamah namun masih tertangguh sehingga hari ini.
Beliau berkata, isu tanah adat yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sememangnya menjadi ketakutan utama kepada BN. Ini kerana mereka mulai menyedari usaha pembangkang bagi menyelesaikan masalah hak tanah ini adalah serius.
"Pengalaman saya sebagai seorang peguam yang mewakili kes yang masuk sehingga ke mahkamah tinggi, mereka yang berasal dari keluarga Bidayuh, Iban, Ulu, Penan dan juga orang Melayu sendiri, ia menjadi isu yang begitu panas sekali," katanya.
Menurut Baru, paling menyedihkan, tiada peruntukan masa dan nilai pampasan ditetapkan dalam Kanun Tanah Sarawak bagi memastikan setiap kali berlakunya pengambilan tanah, setidak-tidaknyanya kerajaan tidak menzalimi pemilik tanah.
Ini kerana meskipun ada tanah penduduk yang bergeran, namun ia boleh dirampas oleh kerajaan untuk tujuan tertentu.