Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata tidak sesuai suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat perkara berkaitan video seks.
Menurut Khairy ( kanan ), suruhanjaya diraja sebagai sebuah badan yang "bermaruah tinggi" sebelum ini mengkaji soal yang lebih besar seperti isu badan kehakiman dalam kes video VK Lingam.
"Adakah perlu suruhanjaya diraja, untuk meyiasat video seks?" soalnya yang mengaku bimbang dengan perkembangan "mencemarkan" itu.
"Badan bebas sudahlah. Tak perlulah diraja," katanya yang berharap isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
Semalam, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik - yang mengaku antara tiga orang di sebalik penayangan video seks - mahu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menentukan ketulenan klip itu.
Beliau mencadangkan keanggotaannya daripada pelbagai pihak, termasuk ketua parti-parti pembangkang, pengamal media, NGO dan pemerhati antarabangsa supaya "kebenaran yang ditemui nanti tidak boleh dipersoal".
'Rahim adalah Rahim'
Bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini, Khairy menyifatkan apa yang berlaku itu menggambarkan "demokrasi jelek" dan hendaklah diselesaikan segera supaya imej Malaysia tidak rosak di mata dunia.
"Bangun tidur, tengok cerita seks. Tengok Buletin Utama, seks. Buka Malaysiakini , seks. Kita terlalu obses dengan seks. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan cepat," katanya disambut ketawa kecil pemberita.
Anggota parlimen Rembau itu berharap anggota panel itu disertai wakil daripada pembangkang dan parti pemerintah supaya wujudnya mekanisme yang bebas dan adil.
Beliau juga meminta Umno tidak dikaitkan dengan penyiaran video 22 minit itu walaupun bekas pemimpin kanannya Tan Sri Rahim Thamby Chik antara yang terlibat.
"Rahim adalah Rahim. Umno adalah Umno," katanya sambil berkara ia tidak berkaitan parti itu sama sekali.
Ditanya sama ada Umno patut dikenakan tindakan kerana menyebarkan video lucah, Khairy berpendapat, walaupun bekas ketua menteri Melaka itu mengaku antara yang terlibat, terdapat tatacara dan proses yang perlu dilalui terlebih dahulu.