Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan jamin loji radioaktif di Gebeng tak bahaya
Diterbitkan:  Mar 23, 2011 8:46 AM
Dikemaskini: 1:25 AM

Kerajaan  memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif tanah jarang (rare earth) di Gebeng, Kuantan, yang bernilai hampir RM700 juta, adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

biomalaysia 2008 071008 maximus ongkili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata ini kerana sisa-sia yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada pengilangan bahan mentah daripada loji Syarikat Lynas (M) Sdn Bhd itu mengandungi tahap bahan radioaktif yang rendah.

"Berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa seperti ini ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif tetapi merupakan sisa industri yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi.

"Kilang ini selamat bagi orang awam dan kita akan pastikan syarikat ini patuhi prosedur pemprosesan. Ia berbeza daripada loji Asian Rare Earth," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, semalam.

Loji Asian Rare Earth (ARE) merujuk kepada loji logam 'rare earth' Mitsubishi Chemical di Bukit Merah, Ipoh, yang dikatakan menyebabkan sekurang-kurangnya enam kes leukemia di kalangan masyarakat setempat sebelum  ditutup pada 1992 ekoran protes awam.

NONE Isu kesan radiasi projek pemprosesan 'rare earth' di Gebeng antara lain dibangkitkan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dan Dr D Jeyakumar (PSM-Sungai Siput) yang mempertikaikan rasional kerajaan meluluskan pembinaan loji itu walaupun mendapat tentangan khususnya daripada rakyat Kuantan.

'Perlepasan cukai'

Ongkili berkata langkah-langkah keselamatan akan dan sentiasa diambil untuk merendahkan lagi kemungkinan bahaya sinaran dan pencemaran dari sisa tersebut mengikut amalan konsep ALARA (As low as reasonably achieveable-Paling rendah mengikut budi bicara yang boleh dicapai).

Beliau berkata selain Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA), Lynas juga dikehendaki mematuhi semua keperluan perundangan yang ditetapkan oleh beberapa lagi badan penguatkuasa lain sebelum sesuatu lesen dikeluarkan.

NONE "Pihak syarikat juga telah dikehendaki mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang ketat bagi memastikan pekerja, orang awam, harta benda dan alam sekitar tidak terdedah kepada kemungkinan bahaya sinaran dan pencemaran (sekiranya ada) dari sisa tersebut," katanya.

Menurutnya Lynas juga menggunakan sumber bahan mentah Australia yang mengandungi satu per lima puluh kandungan radioaktif berbanding dengan bahan mentah yang digunakan oleh Syarikat Asian Rare Earth (ARE).

NONE Menjawab soalan Fuziah mengapa Lynas diberi insentif pelepasan cukai selama 12 tahun, Ongkili berkata ia merupakan insentif biasa yang diberikan kepada syarikat-syarikat pelaburan besar yang dijangka mencipta peluang aktiviti ekonomi hiliran yang besar.

Kepada satu satu soalan lain, Ongkili berkata kebanyakan negara menolak untuk membina loji pemprosesan logam radioaktif pada 30 tahun lalu kerana khuatir berlakunya pencemaran sisa bahan berkenaan memandangkan ketika itu masih tidak ada teknologi mengenai pengurusan sisa radioaktif terutamanya jika berlaku sebarang kebocoran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS