Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Alkitab: K'jaan berlembut soal cop, nombor siri
Diterbitkan:  Mar 22, 2011 7:39 PM
Dikemaskini: 11:42 AM

Kerajaan persekutuan bersetuju syarat meletakkan nombor siri dan mencop mohor kementerian dalam negeri pada semua alkitab Injil berbahasa Melayu tidak lagi akan dikuatkuasakan kata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Sebaliknya kerajaan hanya mensyaratkan perkataan ‘Untuk Agama Kristian” dicetak dengan huruf Arial, bersaiz 16 dengan jelas. Sebarang perkataan lain tidak lagi dibenarkan untuk dicop dalam Injil.

Cadangan itu dikemukakan kepada perwakilan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Konsul Gereja-Gereja Malaysia (CCM), kumpulan Kristian yang berkaitan bersama penasihat undang-undang masing-masing pada mesyuarat 18 Mac.

Hadir sama pada mesyuarat itu adalah Idris dan peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Berikut kenyataan penuhnya:

Kerajaan Malaysia ingin mengulangi kenyataan yang dikeluarkan sejak Mac 15 lalu, bahawa Kerajaan telah memberi arahan untuk mengeluarkan semua Kitab Injil yang diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia di Pelabuhan Klang dan Kuching.

Namun demikian, sehingga kini, kumpulan penganut agama Kristian yang mengimpot Kitab

Injil masih belum lagi mengutip buku-buku Kitab tersebut oleh kerana mereka tidak bersetuju dengan meletakkan cop atau nombor siri pada Kitab yang dikeluarkan.

Menurut Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri, tindakan untuk meletakkan cop atau nombor siri adalah menurut piawaian; contohnya Kitab Al-Quran yang diimpot ke dalam negara juga disemak sebagai salinan yang dibenarkan dan telah diletakkan cop serta nombor siri sebelum diedarkan. Kitab Al-Quran yang tidak dibenarkan pengeluarannya akan disita dan dimusnahkan.

Maka, tindakan untuk meletakkan cop atau nombor siri untuk Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia mahupun Kitab Al-Quran tidak sepatutnya dilihat sebagai penghinaan ke atas kesucian Kitab tersebut. Disertakan adalah salinan cop atau nombor siri yang telah dicetak pada Kitab Al-Quran.

Sebuah jawatankuasa khas Kabinet telah ditubuhkan berasaskan perkara ini, ianya diketuai oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perpaduan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang dan Hal-Ehwal Parlimen), Menteri Hal-Ehwal Agama dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri / Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU yang telah berbincang pada Mac 17, 2011 tentang isu-isu yang ditangani demi mencari jalan penyelesaian.

Jalan penyelesaian mesti memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan

pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam, terutamanya dalam konteks undang-undang yang berkaitan di negara ini.

Lantaran itu, pada Mac 18, 2011, Datuk Seri Idris Jala dan Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara Malaysia telah bertemu dengan wakil-wakil dari Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Konsul Gereja-Gereja Malaysia (CCM), kumpulan Kristian yang berkaitan bersama penasihat undang-undang masing-masing.

Dalam mesyuarat ini, Idris berkata, “Saya dan Peguam Negara mewakili pihak Kerajaan telah pun membincangkan jalan penyelesaian yang kami percaya akan memanfaatkan kesemua pihak yang terlibat.”

Jalan penyelesaian yang telah dibentangkan oleh Kerajaan adalah seperti berikut:

1.    Kitab Injil yang sekarang masih ditahan di Kuching dan Pelabuhan Klang akan dikeluarkan dengan perkataan “Untuk Agama Kristian” yang akan dicop secara jelas menggunakan huruf cetak “Arial / Saiz 16 dengan jelas / Bold.” Sebarang perkataan selain dari yang tersebut di atas tidak dibenarkan untuk dicop dalam Kitab Injil.

2.    Bagi memastikan bahawa tiada sebarang gambaran yang salah dalam proses implimentasi oleh penjawat-penjawat awam yang terlibat, Kerajaan akan mengeluarkan arahan dari pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Begitu juga dengan arahan yang berkaitan, kegagalan menepati perintah serta arahan akan dijatuhi tindakan disiplin di bawah Perintah-perintah Am.

3.    Untuk menerangkan usaha Kerajaan yang penuh komited dalam menangani isu secara telus dan ikhlas, Kerajaan telah menerima tawaran dari penderma Kristian yang sanggup membayar kos Kitab Injil yang telah dicop atau diberi nombor siri. Kerajaan juga sedia memberi pilihan untuk buku Kitab Injil ini dikeluarkan (dengan cop atau nombor siri yang dicetak) ataupun menggunakan pelekat /stiker dengan perkataan “Untuk Agama Kristian.”

Pilihannya adalah terpulang kepada pengimpot Kitab Injil tersebut. Sekiranya pengimpot Kitab Injil tidak berminat untuk mengambil balik Kitab Injil yang masih disita di Pelabuhan Klang dan

Kuching, penderma Kristian sanggup membayar kos membawa Kitab Injil baru yang telah dicetak atau dicop dengan perkataan “Untuk Agama Kristian.”

Sebagai penutup dalam sesi perbincangan ini, wakil dari kumpulan Kristian telah memohon agar diberi masa untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, dan juga telah menasihati Kerajaan agar jawapan atau keputusan yang diambil akan dikemukakan secepat mungkin.

    


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS