Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keras menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan lelaki dalam video seks yang didedahkan pagi ini.
Bercakap dalam satu sidang media petang ini, Anwar menyifatkan dakwaan seks itu sebagai "fitnah jahat" dan "jijik" yang "diselaras di peringkat kuasa tertinggi."
Katanya, lagi, tuduhan berkenaan juga bertujuan mengaibkan beliau dan keluarganya.
Pada masa video itu dikatakan dirakamkan, Anwar berkata beliau berada di rumah bersama kakitangannya, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak dan cucu-cucunya.
Kemaskini Twitter, Facebook
Katanya, beliau juga telah mengemaskini Twitternya pada masa itu, yang akan membuktikan bahawa beliau bukan lelaki dalam video tersebut.
Tambahnya, beliau juga telah merekodkan tulisannya di Twitter pada tempoh berkenaan "supaya boleh memperkukuhkan hujah (beliau)."
“Melainkan anda melihat saya (mengemaskini Twitter) pada masa aksi itu," katanya lagi.
Bagaimanapun semakan ke atas rekod Twitter Anwar menunjukkan bahawa catatan-catatannya telah dibuat pada jam 9.20 malam dan 11.39 malam, tetapi tidak ada catatan dibuat antara jam 10.23 malam dan 10.45 malam, ketika video itu didakwa dirakam.
Bila seorang wartawan membangkitkan soal ruang waktu itu kepadanya, Anwar tidak menjelaskannya. Beliau hanya menjawab "tak apa, kita ada rekod (Twitter dikemaskini)".
(Turut dikesan, banyak kemaskini dibuat pada malam berkenaan di laman Facebooknya, termasuk 12 catatan antara jam 10.09 malam dan 10.52 malam. Tidak pasti pada masa ini, sama ada catatan itu mungkin dihasilkan secara automatik.)
Perut lebih buncit
Sambil tersenyum Anwar juga berkata, lelaki dalam video itu mempunyai perut yang "lebih buncit" berbanding beliau.
"Memang diberitahu kepada saya bahawa gambar itu mirip kepada gambar saya.
"Cuma perut orang itu jauh lebih buncit dari saya," katanya yang disambut gelak ketawa oleh para pemimpin PKR yang turut hadir di sidang media berkenaan.
Anwar turut berdiri untuk membolehkan jurufoto mengambil gambar perutnya.
Jam tangan
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak mengetahui siapakah "Datuk T" yang dilaporkan terlibat dengan tayangan video berkenan.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai seutas jam tangan yang didakwa sebagai miliknya oleh "Datuk T."
Jam tangan itu didakwa telah hilang di lokasi rakaman video seks berkenaan.
Anwar ditanya wartawan: "Adakah Datuk Seri kehilangan seutas jam tangan Omega?"
Anwar menjawab, soalan yang sepatutnya ditanya adakah beliau memiliki jam sebegitu.
Anwar seterusnya berkata, beliau mempunyai jam seperti itu.
"Tanya (Wan) Azizah. Dia yang simpan...," katanya lagi sambil tersenyum.
Akan lapor polis
Ditanya lanjut, Anwar berkata beliau akan membuat laporan polis sebaik mengenalpasti siapakah pihak yang bertanggungjawab membuat tayangan berkenaan.
"Saya sedang merujuk kepada peguam untuk melihat apakah isunya. Saya belum melihat (video itu), saya tidak tahu siapa pembuatnya, saya tidak tahu sama ada ia akan diedarkan," katanya.
Dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai "serangan fitnah jahat terbaru dalam bentuk video."
"Visual yang ditayang tengahari di Carcosa merupakan satu rekayasa jahat musuh politik yang berhasrat untuk membantutkan kemaraan saya, PKR dan Pakatan Rakyat.
"Kita tentu menuntut kepada pimpinan politik negara dan musuh politik Pakatan Rakyat agar hentikan politik kotor dan lucah ini.
"Jangan heret rakyat dan negara terjebak dalam politik kotor dan lucah kamu," katanya lagi yang membacakan satu kenyataan.