Seorang kanak-kanak maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebuah tiang lampu jalan, ketika dia sedang bermain di padang berhampiran rumahnya di Taman Batu 3, Shah Alam, petang semalam.
Mohd Marzuki Muda, 44, berkata kejadian berlaku semasa anaknya Muhammad Naquiddin, 11, dikatakan sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakanya di padang berhampiran.
"Tiba-tiba dalam pukul 6.50 petang, kawan-kawan Naqiuddin datang ke rumah beritahu yang anak saya terkena renjatan elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.
Beliau berkata setibanya di tempat kejadian, Naqiuddin dilihat sudah tertiarap dengan sebelah kakinya melekat pada salah satu tiang lampu di padang itu.
"Kulitnya yang cerah juga sudah kelihatan gelap, saya cuba tolak kakinya dengan menggunakan kayu dan mengerak-gerakkan tubuhnya namun tiada tindak balas," katanya.
Marzuki berkata beliau kemudian membawa anaknya ke Hospital Pakar KPJ, Shah Alam untuk mendapatkan bantuan kecemasan, dan menurutnya semasa di hospital itu doktor cuba memberikan 'CPR' namun anaknya tidak dapat diselamatkan.
"Sebelum ini ada beberapa jiran beritahu terasa seperti ada tenaga elektrik semasa tiang itu disentuh, namun mereka tidak buat sebarang aduan," katanya.
- Bernama