Pilihan raya negeri yang bakal diadakan akan menjadi "kemuncak" yang melengkapkan tsunami politik yang melanda pilihan raya umum 2008 di semenanjung Malaysia, kata penasihat DAP Lim Kit Siang.
Menurutnya, DAP yang mempunyai enam kerusi DUN di Sarawak telah membuat persiapan rapi bersama rakan komponen dalam Pakatan Rakyat untuk menamatkan pemerintahan 30 tahun Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Saya tidak mahu meramal berapa kerusi kita boleh menang, Namun, pilihan raya Sarawak 2006 menandakan satu permulaan untuk perubahan yang diikuti oleh tsunami politik di Semenanjung pada tahun 2008.
"Kali ini kami berharap ia akan menjadi kemuncak tsunami politik untuk perubahan Malaysia khususnya di Sarawak," kata Lim.
Lim juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tempoh berkempen yang "lebih daripada seminggu' dengan mengambil kira saiz negeri yang terbesar di Malaysia itu dan masalah logistik untuk menyampaikan mesej di kawasan luar bandar.
"Kita harap tempoh yang cukup diberikan untuk berkempen, bukannya hanya satu minggu kerana ini tidak munasabah dan tidak adil. Namun ini yang kita khuathir kerana (kita tahu) SPR bukannya satu badan yang bebas seperti yang diperlukan," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menyifatkan pilihan raya negeri Sarawak sebagai detik yang paling penting untuk masa depan anak negeri itu.
Dominique: Kali ini berlainan
"Inilah masa untuk membuat perubahan. Perubahan ini bukan untuk kami, tetapi untuk anda sekalian," kata Khalid kepada wakil-wakil penduduk Penan dari Baram, Sarawak.
Manakala ADUN Padungan Dominique Ng - satu-satunya wakil PKR dalam DUN Sarawak - yakin Pakatan mampu mengubah landskap politik Sarawak bersandarkan sentimen politik .
Beliau berkata Pakatan Rakyat tidak lagi menampilkan diri sebagai pembangkang semata-mata tetapi sebagai sebuah gagasan yang mampu mengubah nasib penduduk Sarawak, jika diberi mandat.
"Kali ini agak berlainan kerana kita akan bertanding di semua 71 kerusi DUN Sarawak dan kita harap kali ini kita boleh bawa perubahan yang terbesar sekali di Bumi Kenyalang iaitu untuk membebaskan Sarawak daripada BN," kata beliau.
BN kini menguasai 63 kerusi di DUN Sarawak , dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu pimpinan Taib menang 35 kerusi, Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP) 12 kerusi.
Dua parti komponen lain dalam BN Sarawak, iaitu Parti Rakyat Sarawak dan Parti Progresif Demokratik (SPDP) masing-masing memegang lapan kerusi.
Pakatan Rakyat pula mempunyai tujuh kerusi, enam daripadanya dimiliki DAP enam dan satu lagi oleh PKR. Parti Cinta Malaysia (PCM) memiliki satu kerusi.