Lebih 50 ahli dari beberapa NGO negeri Melaka, hari ini mengadakan perhimpunan secara aman bagi mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyerahkan sampel DNA beliau.
Barisan yang terdiri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Persatuan Sidang-Sidang Negeri Melaka itu mengadakan perhimpunan di hadapan stesyen bas Melaka Sentral kira-kira jam 1 tengahari tadi.
Menurut Yang Dipertua PERKASA Melaka, Abd Rahim Osman, tujuan diadakan perhimpun itu adalah untuk mendapatkan keadilan bukan sahaja kepada mangsa dalam kes liwat yang sedang berjalan malah menuntut pihak terlibat bekerjasama agar memudahkan proses pengadilan.
Beliau berkata, perhimpunan itu juga bagi mendesak kerajaan untuk mempercepatkan perlaksanaan undang-undang bagi mewujudkan satu tabung DNA bagi rakyat negara ini.
"Saya difahamkan sudah digubal undang-undang untuk menguatkuasakan tabung ini. Ini satu keperluan yang dianggap perlu pada masa akan datang bagi memudahkan pihak polis dalam melakukan siasatan sesuatu kes yang melibatkan jenayah seksual.
"Ia sekali gus dapat menegakkan keadilan baik dipihak yang terduduh ataupun yang menjadi mangsa. Cadangan itu juga dapat memudahkan semua pihak terutama dalam mempercepatkan proses perbicaraan termasuk pengumpulan bukti untuk proses perbicaraan," katanya .
Abd Rahim berkata, dengan perlaksanaan undang-undang itu juga dapat membantu sekiranya terjadi sesuatu kes dan pihak berkuasa tidak perlu meminta-minta atau menunggu-nunggu untuk dapatkan sampel DNA.
"Kita melihat perjalanan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu meyusahkan banyak pihak, malah keengganannya untuk menyerahkan sampel DNA telah melinggahkan proses dan melibatkan lebih banyak wang kerajaan sepanjang perjalanan perbicaraan.
"Kami sebagai rakyat berasa tidak puas hati kerana ia mengambil masa yang begitu panjang untuk diselesaikan sehingga rakyat pun naik meluat," katanya.
Beliau merasakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu wajar bekerjasama untuk kebaikan semua pihak.
"Bagi Datuk Seri Anwar saya rasa eloklah dia bekerjasama. Inilah masanya untuk dia buktikan sama ada dia terlibat atau tidak," katanya sambil menyifatkan perkara itu sebenarnya peluang baginya "membersihkan diri"