Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat M'sia selamat diri atas bukit di Sendai
Diterbitkan:  Mar 19, 2011 8:30 AM
Dikemaskini: 12:32 AM

Seorang rakyat Malaysia di Sendai, Jepun terpaksa menyelamatkan diri dan keluarganya di atas sebuah bukit yang berhampiran selama lima hari dan berkongsi makanan dengan ratusan keluarga Jepun

yang lain.

"Nasib baik saya ada bawa sedikit makanan semasa melarikan diri ke atas bukit. Bila makanan sudah habis, orang-orang di situ memberikan makanan mereka kepada kami.

"Kami berkongsi apa yang ada, sebab kami tidak boleh keluar dari bukit itu. Kemudiannya apabila keadaan dirasakan selamat, baruah kami pergi ke Tokyo untuk pulang ke Malaysia," kata Yeoh Lian Chun, 29, seorang jurubahasa di sebuah kilang mesin di Sendai.

Beliau bersama keluarganya adalah antara rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini dari Tokyo.

Yeoh dan isterinya warga China, Chang Miao, 29, anak-anak mereka Yeoh Yun Ci, 3, dan Yeoh Hao Han, 11 bulan, tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH 89 pada pukul 5 petang tadi.

Yeoh dari Sungai Petani, Kedah menyifatkan pengalamannya menghadapi gempa bumi dan tsunami yang berlaku di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu sebagai menakutkan dan sukar dilupai.

"Bila amaran tsunami dikeluarkan, semua pekerja keluar dari kilang. Saya terus memandu ke rumah saya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 minit.

"Saya memang takut tentang keselamatan keluarga saya. Dari rumah saya terus membawa anak isteri saya ke tempat yang agak tinggi.

"Saya tidak berani bawa kereta lagi, jadi saya dan isteri membawa kedua-dua anak kami dengan berlari sekuat yang boleh ke tempat bukit yang saya anggap selamat.

"Saya hanya fikir untuk selamatkan anak dan isteri saya sahaja sebab mereka adalah segala-galanya bagi saya," katanya.

Yeoh yang bekerja sebagai jurubahasa selepas menamatkan pengajian selama lima tahun di Jepun berkata selepas keadaan dirasakan selamat barulah beliau dan keluarganya keluar dari kawasan bukit itu untuk ke Tokyo dengan menaiki bas sebelum pulang ke Malaysia.

Beliau juga tidak tahu dengan keadaan kilang tempatnya bekerja serta nasib rakan-rakannya kerana tidak dapat menghubungi mereka.

"Saya juga tidak tahu apa terjadi pada rumah saya," katanya.

Yeoh dan kelurganya juga disahkan bebas daripada kesan radiasi akibat kebocoran loji nuklear Fukushima Daiichi.

Yang turut pulang ialah Nabilah Ibrahim, 26, yang mengikuti pengajian peringkat Phd di Universiti Tohoku dalam jurusan Medical Ultrasonic Electronic.

Ketika kejadian beliau bersama rakan-rakannya sedang berada di dalam makmal perubatan dan meluru keluar dari bangunan makmal itu sebaik menyedari gegaran berlaku.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS