Syarat yang dikemukakan MCA yang mahu bertemu empat mata dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi mendapat penjelasan berhubung pengharaman penjualan tiket loteri dianggap sebagai satu syarat yang 'pelik'.
Menurut setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari berkata 'tidak munasabah' syarat yang diletakkan oleh presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek sedangkan Nik Aziz mempunyai barisan exco, pegawai termasuk pembantunya.
"Adalah tidak munasabah meletakkan syarat (bertemu) satu sama satu. Saya rasa pelik. Tidak munasabah kerana tok guru kena ada pembantu, exco dan pegawai-pegawainya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Bahkan dengan nada menyidir, Ahmad Fadhli yang juga ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan juga pelik mengapa presiden MCA "suka bertemu satu sama satu".
Sehubungan itu, Ahmad Fadhli berkata pihaknya "tidak boleh memenuhi" kalau syarat itu diletakkan oleh Chua sepertimana yang dilaporkan sewaktu presiden MCA itu mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu, Ahad lalu.
Dalam sidang media itu, Chua dilaporkan berkata pihaknya "tidak beminat untuk berjumpa dengan sesiapapun selain Nik Aziz kerana beliau diiktiraf sebagai (mursyidul am) PAS".
"Kita tidak berminat untuk berdebat dengan sesiapapun... Kita cuma mahu faham, kenapa selepas 20 tahun barulah (langkah pengharaman) dikuatkuasakan," kata Chua.
Bagaimanapun Ahmad Fadhli sekali lagi menegaskan kesediaan Nik Aziz untuk bertemu dengan pemimpin MCA tanpa syarat sepertimana yang dilaporkan sebelum ini.
"Nak berjumpa dengan Tok Guru (Nik Aziz), tak ada halangan," katanya sambil menambah pihaknya belum menetapkan tarikh pertemuan tersebut seperti yang diminta MCA.
Ditanya mengapa pihaknya masih belum berbuat demikian, Ahmad Fadhli berkata Nik Aziz mempunyai urusan dan beberapa exco negeri kini berada di Eropah.
Keputusan tarikh pertemuan itu dijangka diketahui minggu depan, tambah Ahmad Fadhli.