Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam ditahan berhubung kes curi kondom RM850,000
Diterbitkan:  Mar 17, 2011 7:18 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Polis percaya telah menyelesaikan kes kehilangan kondom bernilai RM850,000 yang dilaporkan hilang pada 25 Januari lalu berikutan tertangkapnya enam lelaki dan penemuan semula barangan tersebut.

    

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata enam lelaki yang ditahan itu berusia 23 hingga 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, buruh am dan kerja sambilan.

    

Mereka ditahan pada 15 Februari lalu di Ipoh, Bidor, Batu Gajah serta di Puchong dan Klang, Selangor.

    

"Hasil daripada pemeriksaan polis kemudiannya menemui 258 kotak berisi kondom di sebuah rumah di Puchong dan sebuah gudang di Klang, Selangor yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan tersebut sementara menunggu pembeli," kata Shukri pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tiga daripada lelaki berkenaan pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan lampau.

Beliau berkata empat daripada mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin polis manakala dua lagi masih direman sehingga Sabtu ini.

    

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 407 Kanun Keseksan yang boleh membawa kepada hukuman penjara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda, katanya.

    

Beliau berkata dengan tangkapan serta penemuan barangan tersebut, polis percaya kes tersebut telah selesai.

    

Shukri berkata kehilangan kondom itu telah dilaporkan oleh pengurus kilang Sagami Manufacturers Sdn Bhd di Estet Perindustrian Bembam, Batu Gajah, Perak pada 26 Januari lalu apabila pihak berkenaan di Jepun menyedari kontena yang berisi kondom yang sepatutnya sampai di sana telah kosong.

Kondom tersebut sepatutnya dihantar melalui Pelabuhan Klang.

Dalam perkembangan lain Shukri berkata lima lelaki berusia 28 hingga 56 tahun ditahan Jumaat lepas kerana terbabit dalam penipuan dengan

menyamar sebagai pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Ipoh untuk menawarkan sebidang tanah kepada seorang peniaga.

    

Beliau berkata mereka yang ditangkap merupakan Pembantu Am PTG, Ipoh, dua bekas kakitangan PTG, seorang pesara Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak dan seorang broker.

    

"Kes ini terbongkar apabila seorang peniaga besi buruk dari Tapah telah dihampiri oleh lima lelaki berkenaan dengan menawarkan mangsa sebidang tanah seluas 24 ekar di Bidor pada 1 Mac lepas.

    

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah menyerahkan wang tunai RM24,000 kepada mereka untuk bayaran pendahuluan dan proses permohonan.

"Bagaimanapun apabila membuat semakan di PTG Ipoh, mangsa mendapati permohanan tanah tersebut tidak wujud dan palsu," katanya.

    

Polis turut merampas beberapa barangan palsu antaranya sembilan keping cop PTG Ipoh, 45 keping kepala surat PTG Ipoh, 20 helai dokumen PTG, 13 helai resit rasmi bayaran premium tanah, empat keping salinan pelan tanah dan sebuah komputer riba dan pencetak yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu tersebut.

    

"Mereka akan memalsukan surat kelulusan permohonan tanah dengan menggunakan kepala surat PTG Ipoh serta meniru tandatangan pegawai yang berkuasa meluluskan," kata Shukri.

    

Kesemua suspek ditahan reman seminggu untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawaah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Penipuan) yang boleh dikenakan hukaman penjara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS