Seorang pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini akibat jangkitan Adenovirus, mangsa kedua yang meninggal dunia akibat serangan virus itu bulan ini.
Inspektor pelatih Mohd Redzuan Ishak, 26, yang menerima rawatan di situ sejak seminggu yang lalu, meninggal dunia pada 4.20 pagi ini, demikian menurut polis dalam satu kenyataan menerusi Facebook.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Bandar Sungai Buaya di Rawang pagi ini untuk dikebumikan.
Adenovirus mula dikesan menyerang Pulapol pada 4 Mac lalu.
Mangsa pertama, seorang konstabel pelatih lelaki berusia 21 tahun berasal dari Kuala Kangsar, meninggal dunia pada 9 Mac.
Sehingga 8 pagi semalam, 34 orang pelatih dirawat di HKL dan enam di Hospital Sungai Buloh.
- Bernama