Panel bebas yang mengkaji novel Interlok mencadangkan supaya perkataan "paria" dalam karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain digugurkan.
Bagaimanapun, sebab penggugurannya bukan atas alasan sensitif, sebaliknya kerana mempunyai kesalahan fakta.
"Dalam konteks novel, (watak) Maniam bukan paria. Dia ada tanah beberapa ekor lembu dan rumah.
"Pada tahun 1910 (yang menjadi latar novel), mustahil golongan paria ada benda-benda ini," kata penulis Uthaya Sankar SB yang mengganggotai panel yang dibentuk kerajaan itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Uthaya menjelaskan, cadangan itu disepakati setelah tiga kali panel bersidang dan berbincang dengan tidak emosional.
"Selama ini kita dengar orang kata ia sensitif sahaja dan (mereka) tidak berhujah secara rasional," kata pemenang Hadiah Sastera Perdana itu.
Uthaya yang juga presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan - persatuan tunggal untuk penulis India yang berkarya dalam bahasa Malaysia - memberitahu, cadangan pindaan itu mengambil kira aspek penggunaan bahasa, kesalahan fakta dan sensitiviti kaum.
Bahagian Melayu, Cina juga diteliti
Sehubungan itu, tambahnya, beberapa kesalahan tatabahasa dicadangkan dibetulkan dan bahagian sensitif, termasuk yang menyentuh masyarakat Melayu dan Cina turut dicadang dibuang.
Antaranya, dalam bahagian di mana watak Chin Huat terfikir hendak menjual anak perempuan sendiri kerana kesempitan hidup dan babak Musa gembira dapat menipu guru besar bagi mengelakkan anaknya disekolahkan.
"Pada mulanya memang kita hendak teliti bahagian berkenaan kaum India sahaja, tetapi dah alang-alang (kaji), kita lihat juga bahagian lain," katanya.
Laporan kira-kira 30 halaman itu kini sudah diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat ini.
Dalam perkembangan perkaitan, difahamkan panel yang diketuai oleh pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)Shamsul Amri Baharuddin dijadual bertemu Muhyiddin yang juga menteri pelajaran dan sesi tertutup di parlimen awal petang ini.
Anggota lain penal itu termasuk Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abdul Aziz, Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Datuk Zainal Abidin Borhan; Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.