Kos pembinaan Projek Aliran Transit Mass (MRT) Lembah Klang akan diketahui penghujung Mei ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jumlah keseluruhan projek MRT Lembah Klang, termasuk kerja-kerja bawah tanah dan pembinaan masih dalam peringkat penilaian reka bentuk asas dan proses memuktamadkan.
Di samping itu, katanya, keputusan akhir jajaran setelah semua maklum balas diterima dan proses selepas pameran awam yang sedang berlangsung sekarang sehingga 14 Mei ini juga akan memainkan peranan dalam menentukan kos projek MRT tersebut.
"Anggaran yang lebih tepat dijangka diketahui menjelang hujung Mei iaitu setelah semua elemen kos diambil kira dan dimuktamadkan.
"Pada masa ini Syarikat Prasarana Negara Bhd. sebagai pemilik projek dan aset MRT sedang mengadakan proses kontraktor pra-kelayakan untuk projek tersebut,” katanya menjawab soalan asal Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Kuala Lumpur hari ini.
Tan ingin tahu anggaran perbelanjaan MRT Lembah Klang, peringkat dan tempoh pelaksanaan serta syarikat yang mengemukakan tender dengan MRT.
Mohamed Nazri berkata tender untuk kerja-kerja projek MRT Lembah Klang itu akan dibuka selepas jajaran serta keperluan projek dimuktamadkan.
- Bernama