Persatuan Paderi Sarawak menuntut agar 30,000 salinan alkitab Injil dalam bahasa Melayu yang ditahan oleh Kementerian Dalan Negeri di Kuching dibenarkan masuk pada kadar segera.
“Penahan kitab-kitab itu sejak Januari lalu adalah satu bentuk pencabulan dan bercanggah dengan jaminan kebebasan beragama bagi masyarakat Kristian di Sarawak,” kata pengerusi kumpulan itu, Daron Tan pada sidang akhbar di Kuching semalam.
Alkitab yang dirampas itu kini ditempatkan di pejabat kementerian dalam negeri di Jalan Satok. Mereka dikatakan dihalang daripada mengambil Injil itu dengan alasan ia mengandungi kalimah Allah.
Persatuan Paderi Sarawak itu dianggota oleh Persatuan Mubaligh Kuching, Persatuan Paderi Miri, Persatuan Paderi Sibu, Persatuan Paderi Bintulu dan Gempuru Besai Raban Jaku Iban Malaysia, yang merupakan gabungan gereja-gereja Iban.
Menurut Tan penahanan Injil itu bukan sahaja kesulitan yang dihadapi oleh gereja berhubung soal kebebasan beragama. Mereka juga berulang-kali menghadapi sekatan berbanding jaminan kebebasan yang diperuntukkan oleh perlembagaan.
“Justeru, penahanan Injil itu bukan sahaja tidak mengikut perlembagaan tetapi mencabul semangat Perjanjian Malaysia bagi Sarawak yang menganggota pembentukan negara.”
Tan berkata pihak gereja amat kecewa dengan tindakan kerajaan dan berpendapat bantahan meluas perlu bagi menyuarakan rasa tidak puas hati masyarakat Kristian terhadap sekatan kebebasan beragama mereka.
Beliau mendesak kerajaan menjaga kepentingan hak masyarkat Kristian di Sarawak seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan.