Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAC Perak siasat pembelian barang tak berguna
Diterbitkan:  Mar 14, 2011 3:10 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak akan menyiasat aduan mengenai beberapa jabatan berhubung pembelian peralatan yang tidak memenuhi spesifikasi dan tidak dapat digunakan.

Pengerusi PAC Perak Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata PAC menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut dan ia melibatkan sejumlah kerugian kepada kerajaan.

"Aduan yang diterima adalah membabitkan pembelian yang tidak mengikut spesifikasi, harga yang jauh lebih tinggi dari pasaran dan tidak berkualiti sehingga menyebabkan peningkatan di dalam perbelanjaan kerajaan," katanya kepada Bernama di Ipoh hari ini.

Beliau berkata peralatan yang dibeli oleh beberapa jabatan dan agensi itu tidak dapat digunakan walaupun diselenggara semula.

PAC akan memanggil ketua jabatan dan agensi yang terlibat untuk siasatan lanjut, katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, PAC akan bermesyuarat pada 28 Mac ini dan akan memutuskan tarikh yang sesuai untuk mendengar penjelasan daripada ketua jabatan berkenaan.

"Kita akan membuat teguran terhadap kesilapan tersebut dan PAC mahu semua agensi kerajaan membuat pesanan melalui prosedur yang ditetapkan kerana ia melibatkan wang rakyat," katanya.

Beliau berkata PAC akan menyiasat sejauh mana kesilapan dalam pembelian itu berlaku bagi mendapatkan jumlah sebenar kos yang ditanggung setiap agensi terbabit.

PAC juga akan memanggil semula pegawai kanan Bahagian Pinjaman Pelajaran Negeri bagi memberi penjelasan terperinci berhubung kegagalan jabatan itu mengutip semula tunggakan pinjaman berjumlah RM27.6 juta.

"PAC tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan semasa perjumpaan sebelum ini kerana maklumat yang diberikan oleh pegawai kanan tersebut tidak tersusun," katanya.

Berdasarkan laporan dan siasatan jawatankuasa tersebut, jabatan itu dikatakan tidak mempunyai maklumat dan senarai terkini peminjam berkenaan selain gagal mengambil sebarang langkah untuk menuntut semula bayaran pinjaman tersebut, katanya.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS