Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gempa: 416 rakyat M'sia di Jepun berjaya dihubungi
Diterbitkan:  Mar 13, 2011 12:42 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Setakat pukul 11 malam tadi (12 tengah malam di Jepun), Kedutaan Malaysia di Tokyo telah menghubungi 416 rakyat negara ini yang berada di wilayah paling teruk terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di negara itu.

    

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, berkata kedutaan juga menghubungi rakyat Malaysia yang berada di bahagian lain negara tersebut.

    

"Kesemua mereka selamat dan tidak ada laporan membabitkan kematian. Rakyat Malaysia di kawasan paling teruk terjejas telah dipindahkan ke kawasan selamat yang ditentukan pihak berkuasa Jepun.

    

"Laporan menyatakan pihak berkuasa Jepun sedang mengawal keadaan dengan mengambil langkah-langkah perlu," kata kenyataan itu.

    

Gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter menggegarkan Jepun pada tengah hari Jumaat dan mencetuskan tsunami setinggi 10 meter yang melanda wilayah timur laut negara itu serta mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang.

    

Kenyataan itu berkata Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di sana sedang memantau keadaan di negara terbabit.

    

Malaysia juga menawarkan bantuan menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) termasuk anjing pengesan, kata kenyataan itu.

    

Kerajaan Jepun telah menyatakan penghargaan di atas tawaran itu, namun sehingga kini Kementerian Luarnya belum dapat memberi tarikh dan masa untuk Malaysia menghantar pasukan tersebut.

    

Kenyataan itu juga berkata bilik operasi di Wisma Putra dan di kedutaan di sana beroperasi sepanjang masa sehingga diberitahu kelak.

    

- Bernama

ADS