Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Benarkah Mahathir hanya ikut telunjuk orang lain?

Adakah keterlaluan jika dirumuskan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai banyak kuasa selama 22 tahun menjadi perdana menteri? Kesimpulan ini mungkin boleh dibuat berasaskan  nilai “pengakuan” beliau sendiri dalam buku kisah hidupnya, “A doctor in the house: The memoirs on Tun Dr Mahathir Mohamad”.

mahathir book launch memoirs 080311 Atau, adakah Dr Mahathir berbuat demikian untuk menutup pekung di dada dan menghalalkan segala penyelewengan kuasa, pemborosan dan rasuah dan kronisme yang mewarnai pemerintahan beliau?

Bersandarkan buku “A doctor  in the house”  dan pengakuan Dr Mahathir sendiri, mantan perdana menteri itu mahu rakyat percaya bahawa bukan keputusan beliau memecat Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pada tahun 1988.

Malah beliau juga tidak bertanggungjawab ke atas penangkapan lebih 100 aktivis masyarakat dan ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri menerusi Operasi Lalang pada tahun 1987.

salleh abbas and bar council and judiciary Dalam buku nukilannya, Dr Mahathir meletakkan beban pemecatan Salleh Abas kepada Almarhum Sultan Johor Al-Marhum Sultan Mahmud Iskandar.

Almarhum yang mangkat tahun lalu, kononnya mendesak Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika  itu untuk memecat Salleh.

Gadaikan negara

Selain itu Dr Mahathir, mengikut pengakuannya sendiri, terpaksa akur desakan Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar untuk melancarkan Ops Lalang.

Mungkin perlu ditambah kepada pendedahan Dr Mahathir itu adalah  tema yang sering dikitar oleh beliau, bahawa bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya “menggadaikan” negara apabila  berurusan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF.

ops lalang 261005 star front page Dr Mahathir mahu rakyat mempercayai bahawa walaupun menjadi  perdana menteri dan menteri dalam negeri atau dalam erti kata lain, orang paling berkuasa di Malaysia,  beliau  tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menegur Anwar mengenai tugas-tugasnya.

Dr Mahathir juga mahu kita mempercayai bahawa beliau tidak sama sekali mengarahkan Petronas menggunakan hasil minyak untuk membeli kapal-kapal tangki  bernilai lebih RM1bilion untuk menyelamatkan  anaknya Mirzan ketika kemelesetan ekonomi 1997.

Begitu juga dengan keputusan Petronas untuk membiayai projek-projek seperti pembinaan Putrajaya, Lapangan Terbang KLIA dan sebagainya.  Semua pelaburan berjumlah lebih RM100 bilion ringgit itu itu adalah berasaskan keputusan dibuat oleh pengurusan Petronas sendiri dan bukan atas kehendak Dr Mahathir.

Jadi rakyat tidak boleh dipersalahkan jika merumuskan Dr Mahathir adalah seorang perdana menteri yang mengaku dirinya sebagai tidak mempunyai kuasa dan hanya mentadbir di bawah telunjuk pihak lain.

Seorang pengecut

Selasa lalu, ketika melancarkan buku itu, Dr Mahathir berkata beliau mengambil masa lapan tahun menulisnya dan menunggu masa sesuai sebelum melancarkan buku itu.

NONE Amat mendukacitakan Almarhum Sultan Mahmud sudah mangkat dan tidak dapat membela diri terhadap tuduhan Mahathir bersabit pemecatan Salleh Abas.  Pemecatan beliau bersama lima hakim kanan yang lain masih menjadi detik hitam dalam sejarah perundangan negara.

Dr Mahathir mengelak daripada memikul tanggungjawab mencalar dan menghakis kewibawaan sistem kehakiman negara tetapi sebaliknya menyalahkan seorang sultan yang sudah mangkat.

Dalam kes Anwar, Dr Mahathir mengelak untuk memberi keterangan di mahkamah, tetapi beliau melontarkan fitnah dan tuduhan dan berlindung di bawah payung Umno yang melihat Anwar sebagai musuh politik utamanya.

sultan of johor and the causeway bridge 180609 Mungkin kini sudah sampai masanya  pihak Istana  menegur Dr Mahathir kerana sifat celuparnya mengheret  keluarga diraja Johor semata-mata untuk menghalalkan tindakannya memecat Salleh Abas demi menyelamatkan diri beliau dan Umno pada tahun 1988.

Dan, mungkin sampai masa Dr Mahathir sedar bahawa lebih banyak beliau bercakap, lebih terserlah pembohongannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS