Ibu bapa yang anak mereka melakukan kesalahan trafik ketika ke sekolah bakal menghadapi tindakan undang-undang, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki lesen, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh.
"Ini merupakan antara usaha bagi menurunkan kadar jenayah melibatkan pelajar sekolah selain membentuk jati diri mereka agar lebih berdisiplin,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan dengan Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur, Mohd Adenan Deraman di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, tindakan akan dikenakan mengikut kesalahan yang dilakukan dan perkara ini akan dilaksanakan dalam satu tempoh yang akan ditetapkan pada bulan ini.
Katanya tindakan ini merupakan kerjasama pelbagai pihak dalam membentuk sahsiah pelajar yang bebas daripada kesalahan trafik, jenayah jalanan dan samseng sekolah.
- Bernama