Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dibidas oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock kerana tidak memberi kerjasama yang baik ketika memberi keterangan dan mempunyai “ingatan terpilih”.

azlan Penolong Penguasa SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus ditegur oleh anggota panel suruhanjaya, Datuk T Selventhiranathan kerana tindakannya  yang lebih bersifat selektif kerana kebanyakan soalan yang dikemukakan berhubung perbualan antara seorang pegawai SPRM dan Teoh pada 15 Julai, 2009 kepadanya gagal dijawab.

"Saya lihat awak mengalami selektif memori... ini adalah kes penting. Mana mungkin seseorang yang terbabit dalam kes sebegini tidak ingat. Awak lebih banyak menyatakan tidak ingat. Saya harap saksi-saksi dapat membantu," katanya pada prosiding siasatan hari ini. 

Ketika itu, Mohd Asraf membantu seorang lagi pegawai penguatkuasa, Arman Alies menyoal-siasat Teoh berhubung dakwaan salah guna dana oleh exco Selangor yang juga ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Hwa dua tahun lalu.

NONE Mohd Ashraf, 27, iaitu saksi ke-20, yang tampil sebagai saksi hari ini gagal mengingat kembali jawapan Teoh berhubung soalan atau butiran mengenai apa yang ditanya oleh rakannya,Arman, hari di mana Teoh dikatakan jatuh dari tingkat 14, pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam.

Bagaimanapun, Mohd Ashraf tidak dapat mengingatinya dengan berkata: "Saya tak ingat, sebab suara Teoh perlahan tetapi apabila kami meminta alamat emel Teoh, dia menulis di atas kertas.

"Saya tidak mengingat sebab banyak soalan diajukan oleh Arman," katanya lagi.

Teoh kemudiannya dijumpai mati pada tempat mendarat, tingkat lima bangunan berkenaan.

Seorang lagi ahli pesuruhjaya, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, juga melahirkan rasa kekecewaannya dengan jawapan Mohd Ashraf dan menganggap keterangannya sebagai ‘anti-klimaks”.

NONE "Kenapa tak ingat... ini perkara penting kita tak mahu tunding jari kepada sesiapa. Kita hendak yang benar tapi kamu menjadikan perkara ini sebagai "anti-klimaks". Kalau benda yang penting kamu tidak ingat adakah kamu memerlukan 20 minit untuk mengingat kembali?" kata Abdul Kadir.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Siasatan itu, kemudian menangguhkan prosiding selama 30 minit untuk membolehkan Mohd Ashraf meneliti kesemua fail dan dokumen dalam kes siasatan Teoh.

Dalam prosiding hari ini, Mohd Ashraf turut disindir oleh Awang Armadajaya yang bertanyakan kepada beliau adakah tugasnya sebagai pegawai penyiasat tidak penting dan beliau berkata: "Saya ditugaskan untuk membantu sahaja."

NONE Hakim Foong kemudiannya menegaskan sebagai penolong, beliau berperanan sepertimana pegawai penyiasat dan seharusnya mengetahui tugas-tugas sebagai pegawai penyiasat.

Teoh, 30, Setiausaha Politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu turut dianggotai Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat "keputusan terbuka" berhubung kes itu.

Prosiding disambung esok.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS