Perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini dengan mahkamah mendengar hujah akhir dari pihak pendakwa dan pembela dalam bicara dalam perbicaraan.
Anwar, bersama dengan peguam Sankara Nair and ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, memberi keterangan untuk pihak pembela, manakala Superintendent Ahmad Taufiq Abdullah, memberi keterangan untuk pihak pendakwa.
Anwar dan Sankara memberitahu mahkamah itu bahawa tiada alasan penangkapan dinyatakan oleh apabila ketua pembangkang ditahan pada Julai 2008 oleh sepasukan anggota polis yang bertopeng.
Sivarasa pula, dalam keterangannya berkata, beliau telah mengingatkan pegawai penyiasat supaya tidak menahan Anwar semalaman, selepas ahli parlimen Permatang Pauh itu selesai memberi kenyataan dan selepas menjalani pemeriksaan perubatan.
Dalam bicara dalam perbicaraan itu, peguam Karpal Singh cuba untuk membuktikan yang penangkapan itu tidak sah dan tiga bahan yang diambil dari sel tempat Anwar ditahan semalam - yang mengandungi mengandungi DNA 'Male Y' - dibuat secara tidak adil dan menyalahi undang-undang.
Ahmad Taufiq pula memberitahu mahkamah yang beliau telah memaklumkan kepada Sankara dan Anwar bahawa penangkapan itu dibuat berdasarkan dakwaan di bawah seksyen 377B untuk liwat dengan persetujuan.
Bagaimanapun , pegawai polis itu mengakui bahawa waran tangkap bertarikh 15 Julai, 2008, hanya diserahkan kepada Anwar di ibu pejabat polis Kuala Lumpur (IPK KL) - tempat ketua pembangkang ditahan.
Tumpuan sekarang ialah sama ada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan membuat keputusannya mengenai penerimaan bahan bukti penting itu, hari ini.
Tiga bahan tersebut - yang pihak pendakwa mahu mahkamah menerimanya sebagai bahan bukti - boleh menentukan kejayaan atau kegagalan kesnya terhadap Anwar.
LAPORAN LANGSUNG
8.31am: Pemimpin Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan isterinya yang juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kedua-dua pemimpin itu bersalaman dengan wakil-wakil dari kedutaan Denmark.
8.37am: Peguambela Sankara Nair memasuki dewan mahkamah dengan rakannya, Datuk Param Cumaraswamy.
8.50am: Masih lagi tiada kelihatan pihak pendakwa. Biasanya, mereka sampai sebelum ketibaan peguambela.
8.57am: Pasukan pendakwa diketuai Peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tiba.
9.01am: Peguambela utama, Karpal Singh berada di mahkamah.
Mahkamah sedia untuk mula bersidang. Terdapat kira-kira 60 orang dalam dewan mahkamah. Bagaimanapun, masih ada kerusi kosong di barisan depan dan barisan dewan.
9.06am: Mahkamah mula bersidang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
9.07am: Yusof memohon untuk memanggil semula Supt Ahmad Taufik, untuk menyerahkan waran tangkap sebagai bahan bukti.
Tetapi Karpal membantah. Katanya, hari ihi telah ditetapkan untuk mendengar hujah kerana bicara dalam perbicaraan telah ditutup.
Menurut Karpal, ini merupakan satu perbicaraan jenayah dan permohonan patut dibuat semasa bicara dalam perbicaraan.
Yusof menerangkan bahawa waran tangkap telah tersalah letak dan dia telah menjumpai salinan asal. Jumaat lalu, waran tangkap yang dikemukakan di mahkamah, bukan salinan asal.
9.12am: Hakim Zabidin menolak permohonan oleh pihak DPP.
9.15am: Karpal mula menyampaikan hujahnya. Katanya, bahan bukti tersebut mesti dikeluarkan kerana:
* Pencabulan perlembagaan persekutuan kerana penangkapan menyalahi undang-undang.
* Diperolehi melalui cara yang tidak adil.
Karpal kata beban pembuktian di sini ialah pada imbangan kebarangkalian.
9.19am: Karpal mengingatkan mahkamah bahawa Anwar memberi keterangan secara sumpah untuk memberi keterangan penangkapannya yang 'menyalahi undang-undang'.
9.21am: Peguambela itu berhujah bahawa tertuduh telah ditangkap tanpa diberitahu alasan penangkapannya.
"Mereka menangkapnya dengan 10 hingga 15 anggota UTK (Unit Tindakan Khas) yang bersenjatakan submesingan dan penutup muka."
Karpal berkata Yusof juga telah menyoal-balas Anwar dan tertuduh tetap bertegas bahawa alasan penangkapannya tidak dinyatakan.
9.23am: Karpal berhujah bahawa di bawah kebebasan asasi, seseorang suspek mesti diberitahu alasan penangkapannya.
"Sebarang pelanggaran adalah melanggar hak-hak ini. Tambahan pula, waran tangkap tidak ditunjukkan."
9.26am: Peguambela itu menambah bahawa satu salinan fotostat waran tangkap hendak dianggap sebagai bukti 'sekunder'.
"Ia tidak memenuhi seksyen 65 Akta Bukti."
9.27am: Karpal berkata salinan waran tangkap hendaklah ditolak dan ia patut ditanda sebagai 'untuk pengenalan' sahaja. dan bukan sebagai bukti.
Katanya, ia tidak dibuktikan dan oleh itu, ia mesti ditolak, begitu juga dengan semua testimoni lisan.
9.30am: Karpal juga menegaskan bahawa pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Pereira tidak dipanggil untuk menyangkal persoalan pihak peguambela mengenai alasan penangkapan tersebut.
Sambil menegaskan bahawa penangkapan itu menyalahi undang-undang, Karpal juga berhujah bahawa Taufik mengakui dia menerima arahan dari ketua CID pusat, Datuk Bakri Zinin.
"Bagaimanapun, Bakri tidak dipanggil oleh pihak pendakwa."
9.35am: Karpal berhujuah bahawa sampel yang diambil, mesti mendapatkan persetujuan Anwar, dan ia melanggar seksyen 319 Kanun Prosedur Jenayah jika diambil tanpa persetujuan tersebut.
9.37am: Karpal menekankan bahawa bahan-bahan tersebut diambil secara tidak adil.
Anwar juga, tambahnya, mengalami trauma kerana menjalani pemeriksaan perubatan di mana bahagian sulit dan bulunya diukur, yang dianggapnya sebagai mengaibkan.
Karpal mengingatkan mengenai keputusan mahkamah persekutuan bahawa sebarang bukti yang diperolehi secara muslihat hendaklah diabaikan dan ditolak.Karpal selesai berhujah.