Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR nasihat daftar Pakatan untuk guna logo dalam p'raya
Diterbitkan:  Mar 6, 2011 8:42 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menasihati PAS, PKR dan DAP supaya mendaftarkan pakatan mereka bagi membolehkan ketiga-tiga parti menggunakan logo pakatan pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

    

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pakatan itu perlu didaftarkan kerana mereka selalu dilihat melanggar peraturan kempen pilihan raya, terutama berhubung isu penggunaan logo.

    

"Berulang kali telah dinyatakan sejak pilihan raya kecil yang lepas, logo parti yang tidak bertanding dilarang dipasang atau digunakan untuk berkempen kerana ia menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    

"Saya tak nak mengajar parti, saya nasihat pembangkang supaya daftarlah parti-parti anda (pembangkang) dengan Pendaftar Pertubuhan. Sudah daftar, logo-logo itu kemudian dihantar ke SPR, baru mereka boleh digunakan ketika

kempen," katanya kepada pemberita ketika meninjau proses penjumlahan undi pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh hari ini.

Wan Ahmad berkata perkara itu, jika terus dilakukan, akan menimbulkan masalah kepada SPR dan polis.

    

"Mereka tak nak daftar, itu hak parti, tetapi jika mereka terus langgar peraturan kami, SPR dan polis yang susah, kena berlari ke sana ke sini menguatkuasakan undang-undang.

    

"Kalau daftar, lepas itu boleh guna logo, dan semua pihak boleh menjalankan tugas mereka dengan lancar," katanya.

    

Beliau mengulas tindakan parti pembangkang yang tidak bertanding, iaitu DAP dan PKR, yang bertindak memasang serta menggunakan logo masing-masing untuk berkempen pada pilihan raya kecil itu.

- Bernama    


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS