Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengeluarkan arahan supaya tiada logo parti dipamerkan pada kenderaan yang mengangkut pemilih ke pusat pembuangan undi esok.
Bagaimanapun, BN dan PAS masih boleh menggunakan pengenalan warna dengan menampal kertas bersaiz A4 padanya.
"BN warna biru dan PAS warna hijau. Pada lepas-lepas mereka menggunakan bendera dan logo. Kita dah bincang dengan polis.
"Itu dianggap berkempen," kata timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Ditanya tentang logo 1Malaysia, beliau berkata, ia tiada masalah kerana bukan logo parti.
"Apa juga lambang lain tiada masalah," tambahnya dalam sidang media di Temerloh hari ini.
Wan Ahmad menasihatkan orang ramai mematuhi keputusan itu dan tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri dengan menghalang pengundi yang memakai logo selain parti, seperti 1Malaysia.
"Itu dikira menghalang orang membuang undi dan boleh ditangkap," katanya sambil memberitahu arahan itu telah tiga hari dikeluarkan kepada parti bertanding.
Cadangan pengenalan warna itu pernah cuba dijalankan beberapa kali dalam pilihan raya kecil sebelum ini dan belum diikuti secara menyeluruh, tambahanya.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan pemilih turun awal membuang undi kerana cuaca esok diramalkan mendung dan dikhuatiri hujan di sebelah petang.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan sasaran 80 peratus keluar mengundi akan dicapai kali ini.