Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dikasari di kawasan Felda di Kerdau mungkin disebabkan penduduk kawasan itu menyampah dengannya.
"Itu (terjadi) kalau orang Felda tak boleh menerima Anwar. Kerana itu kampung mereka sendiri, itu hak merekalah," kata Muhyddin yang juga timbalan presiden Umno.
"Mungkin kerana mereka dah menyampah, (dan) tidak hendak dengar lagi cerita karut-marut dan berdosa lagi. Jadi lebih baik (Anwar) jangan masuk."
Pagi tadi, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang Ahmad Ahmad Nizam Hamid mendakwa kereta yang dinaiki Anwar dikepung dalam dibaling batu oleh sekumpulan 30 orang di Felda Jengka 22 pada Khamis malam.
Bercakap dalam sidang media harian PAS di Kerdau pagi tadi, pengamal undang-undang itu menuduh ia dilakukan penyokong Umno yang memakai baju dan ves dengan logo BN.
Ahmad Nizam juga mendakwa petugas Umno dan BN menabur paku di sekitar tapak ceramah Anwar dan pihaknya difahamkan 50 motosikal dan beberapa tayar kereta mengalami merosakan.
'Siapa bayar Ummi Hafilda?'
Sementara itu, terdapat petugas media yang mendakwa dihalau daripada membuat liputan berhubung insiden dalam oleh pihak PKR malam tadi.
Diajukan perkara itu kepada Muhyiddin, beliau menjawab tindakan itu menunjukkan "gambaran sebenar" bahawa pembangkang tidak menghormati hak media walaupun selalu bercakap dengan nada berbeza.
"Kita kata patut media (jadi) bebas. Dialah juara kebebasan media. Jadi (sekarang) cakap tak serupa bikinlah," sindir Muhyiddin.
Sementara itu, ditanya tentang dakwaan saksi penting kes liwat 1998 Ummi Hamilda Ali dibayar oleh BN untuk berkempen di Kerdau, Muhyiddin menafikan perkara itu sama sekali.
"Siapa bayar?" soalnya kembali kepada pemberita.
"Dia hadir atas kesedarannya sendiri untuk memberikan penerangan sewajarnya. Kalau fitnah, jawab. Jadi jangan kaitan dengan kita."
Dalam program itu, majlis juga mengumumkan persetujuan Muhyiddin meluluskan pembinaan masjid baru di tempat itu - kampung Badok - bernilai RM500,000 bagi menggantikan masjid lama yang sudah uzur.