Isu siapa bakal menggantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak bukanlah perkara pokok yang dapat menjamin peningkatan sokongan rakyat terhadap kerajaan BN dalam pilihan raya negeri akan datang, kata Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata tahap sokongan rakyat lebih banyak dipengaruhi tahap pemahaman mereka terhadap rancangan pembangunan kerajaan yang akan dapat memanfaatkan mereka.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan seminar pembangunan dan kepimpinan ketua masyarakat di Bintulu, semalam, Taib berkata kesinambungan kepimpinan adalah lebih penting daripada siapa yang akan menggantikan beliau.
"Yang penting segala dasar yang baik boleh diterima dan diteruskan oleh pemimpin-pemimpin akan datang," katanya semasa diminta mengulas satu analisis politik oleh Bernama yang menyatakan sokongan rakyat terhadap BN akan meningkat jika Taib mengumumkan nama pengganti beliau.
Analisis yang mendapat impak dalam akhbar tempatan di Sarawak turut menyebut BN bakal kehilangan lebih banyak lagi kerusi di kawasan bandar dalam pilihan raya yang bakal diumumkan dalam waktu terdekat ini.
Taib yang bakal menyambut ulang tahun ke-30 sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Mac ini pernah menyatakan hasrat untuk berundur namun diminta oleh para pemimpin lain dalam Parti Pesaka Bumiputera (PBB) untuk terus menerajui kerajaan.
Taib, yang juga Presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak, pernah menyatakan pilihan raya negeri akan datang merupakan yang terakhir bagi beliau berikutan faktor usia.
- Bernama