Pada hari keenam hari ini dalam kempen pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Kerdau, calon serta jentera parti bertanding sibuk mengatur strategi meraih sokongan pengundi atas pagar.
Satu tinjauan rambang menunjukkan pengundi sendiri merasakan BN dan PAS yang berentap mempertingkatkan usaha mendapatkan sokongan pengundi atas pagar memandangkan kedua-dua parti yakin penyokong setia masing-masing akan tentunya mengundi calon masing-masing Ahad ini.
Seorang pengundi, Hamaluddin Abu Bakar, 51, dari Kampung Peragap berkata, penyokong tegar sesuatu parti sukar untuk berubah tetapi yang berada di tengah-tengah akan memilih isu semasa dan apa yang dijanjikan dan boleh dilaksanakan oleh sesuatu parti kepada mereka kelak.
"Jadi jentera pilihan raya mana-mana parti kena pandailah. Janganlah harap pemimpin saja yang beri kenyataan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan hasrat untuk melihat calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad menang dengan majoriti lebih baik daripada majoriti 1,615 undi yang diperolehi calon BN pada 2008, Datuk Zaharuddin Abu Kasim.
Pada masa itu, Zaharuddin meraih 4,135 undi manakala lawannya daripada PAS, Hasanudin Salim mendapat 2,520 undi.
Zaharuddin, 63, meninggal dunia pada 12 Februari lepas manakala Hassanuddin, 44, sekali diturunkan sebagai calon PAS, kali ini menentang Syed Ibrahim, juga berusia 44.
Sebanyak 54 peratus daripada 8,999 pengundi atau 4,859 orang di kawasan Kerdau terdiri anggota Umno, yang kalau secara sifir mudahnya, BN boleh mencatat kemenangan dengan mengambil kira kesemuanya turun mengundi.
Tetapi adakah BN sendiri pasti semua anggota dan penyokongnya termasuk 548 pegundi baru, akan keluar mengundi Ahad ini.
Dalam pilihan raya umum lepas, sebanyak 80.3 peratus atau 6,799 daripada 8,451 pemilih di situ telah keluar mengundi.
Pengarah pilihan raya kecil Kerdau PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man awal-awal lagi sudah mengakui bahawa agak sukar bagi parti itu untuk menang.
"Tapi kita cuba tarik mereka yang ditengah-tengah ini. Kita pergi rumah-rumah dan jika mereka memang menyokong Umno kita anggaplah ziarah. Tak menjadi masalah. Kita beri penjelasan kenapa perlu undi PAS.
"Kita juga ada penyokong dan anggota parti yang mana saya pasti akan memberikan undi kepada PAS.
"Bagi anggota Umno itu, kadang-kadang nama mereka sahaja didaftar tetapi mereka sendiri tidak tahu dan yuran dibayar oleh orang lain. Tapi untuk jadi anggota PAS mereka kena bayar sendiri," kata Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang kepada Bernama hari ini.
- Bernama