Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tolak pemimpin cuai dari terus terajui negara'
Diterbitkan:  Mar 3, 2011 12:52 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Sebahagian besar daripada anggota jemaah menteri, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ‘ditipu’ oleh dua rakan mereka berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang masih berkuasa, kata presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

NONE Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di negara ini supaya bangkit menolak pemimpin cuai dan berkepentingan tersebut.

“Sistem pentadbiran yang mengenepikan kepedulian rakyat dan tatakelola yang baik harus ditamatkan. Tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dimiskinkan yang akhirnya membawa kebankrapan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Merujuk keputusan kerajaan mengheret bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy ke Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 28 Februari lalu, atas tuduhan menipu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung PKFZ, Wan Azizah berkata perkembagan itu menimbulkan pelbagai persoalan.

“Senario terbaru ini telah menimbulkan persoalan mendalam. Betapa mudahnya mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ditipu dalam skandal PKFZ ini.

NONE “Malah isu penipuan ini bukan sahaja kepada perdana menteri tetapi barisan kabinet pada zaman Tun Dr Mahathir. Kebanyakan dari mereka yang 'tertipu' masih berkuasa termasuk Perdana Menteri dan timbalannya hari ini.

Menurutnya, pemimpin kerajaan berkenaan telah dengan cuai meluluskan perjanjian tanah berhubung pembangunan PKFZ pada harga yang jauh lebih tinggi daripada nilai pasaran.

Selain Chan, pada 29 Julai tahun lalu, bekas presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik pula didakwa memperdayakan jemaah menteri bagi meluluskan perjanjian tanah berhubung pembangunan PKFZ.

“Mana mungkin kita membiarkan gerombolan pemimpin cuai yang memberi kerugian RM12 bilion kepada rakyat  ini menerajui negera.

NONE “Apa jaminan yang mereka tidak akan melakukan perkara yang sama sedangkan hari ini masih begitu angkuh mengunjurkan pembinaan bangunan 100 tingkat dan lorong pejalan kaki dengan kos tidak di terima akal,” katanya

Justeru, Wan Azizah berkata janji Pakatan Rakyat kepada rakyat negara ini adalah bagi menerajui sebuah kerajaan yang adil serta mengamalkan tatakelola yang baik.

“Pilihan raya umum ke-13 adalah peluang terbaik dan nampaknya semakin hampir,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS