Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pelantikan Tan Sri Raja Arshad Tun Raja Uda sebagai Canselor Universiti Selangor (Unisel) telah dibincang dan dimaklumkan kepada Sultan Selangor.
"Saya ingat, selepas raya tahun lepas kita sudah bincangkan," katanya
Didesak oleh pemberita sama ada baginda memperkenankan perlantikan tersebut, Khalid berkata: "Itulah, (dalam) perbincangan itu, nama yang kita pilih itu pun, dah kita bincang begitu lama".
Menteri besar diminta mengulaskan titah Sultan Selangor yang menitahkan semua pihak agar mematuhi peruntukan perlembagaan Unisel yang menetapkan pemilihan dan pelantikan canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.
Dalam perlembagaan Unisel, baginda dilaporkan bertitah, dinyatakan dengan jelas bahawa canselor universiti itu ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.
Baginda bertitah pada majlis penyerahan watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru di Istana Bukit Kayangan semalam.
Khalid yang juga ADUN Ijok menafikan pelantikan Raja Arshad sebagai "mendahului keputusan" baginda.
"Tidak. Oleh kerana kita telus, biasanya, dalam mana-mana organisasi, lembaga pengarah Unisel juga membincangkan perkara ini.
"Bukan satu perkara rahsia, siapa nak jadi canselor apa semua. Saya ingat, polemik siapa nak jadi canselor selepas Datin Seri Rosmah Mansor, sangat banyak. Jadi perkara ini memang biasa.
"Oleh sebab itu, ahli lembaga pengarah boleh jadi telah mengutarakan atau memberi maklumat tentang Tan Sri Arsyad, nampaknya dipilih. Tapi sebenarnya formaliti yang berlaku pada semalam," katanya.
Khalid membandingkan situasi perlantikan itu dengan situasinya sewaktu dilantik menjadi menteri besar Selangor tiga tahun lalu.
"Serupa juga dahulu, saya jadi MB, (pada) 9, 10 dan 11 Mac orang sudah tahu saya jadi MB, tapi 13 Mac saya diberi watikah. Jadi saya ingat, tidak ada satu perkara ganjil," katanya.
Ditanya sama ada mesyuarat hari ini membincangkan mengenai rombakan exco kerajaan negeri, Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak berkata: "Seperti biasa, bila saya sudah susun, baru saya akan beritahu".