Ceramah PAS di Kerdau malam tadi memberikan 'penghormatan' dan tepukan kepada menteri yang didakwa "paling jujur" dalam kerajaan BN, sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.
Tepukan sebahagian daripada kira-kira 500 hadirin di Desa Murni kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala itu diberikan atas permintaan bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu.
"Kalau kita beri (undi) pada Umno lagi, Malaysia akan bankrap, (bankrap) seperti yang dikatakan oleh menteri yang paling jujur, Idris Jala. Tepukan pada Idris Jala," kata Mohamad ( kiri ) yang berhujah tentang 'kelemahan' pentadbiran kerajaan BN.
Idris pada 27 Mei tahun lalu berkata, hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.
Berceramah di Kerdau malam tadi, penceramah popular PAS yang amat kelakar itu juga secara khusus menyentuh pentadbiran BN yang didakwa bakal menjadikan Pahang bankrap.
Katanya, jika dibanding dengan prestasi kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor yang di kedudukan pertama dan kedua terbaik menurut Laporan Audit Negara sebelum ini, kedudukan Pahang di tempat terakhir amat memalukan.
"Menurut Laporan Audit negara, negeri paling teruk, Pahang. Malunya aku," katanya sambil membuat muka hodoh dan ketawa besar, menyebabkan penonton turut terbahak-bahak.
Beliau juga secara sinis mengkritik sebahagian pengundi yang masih percaya bahawa "Umno itu pembangunan dan pembangunan itu Umno".
Pemimpin DAP turun padang
"Di Kelantan PAS perintah, ada jalan raya? (Penonton jawab: Ada) Tak ada! Fasal di kelantan tak ada Umno. Umno kalah di Kelantan. Sampai Kota Bharu, naik kereta lembu. Di Kelantan ada hospital? Tak ada, kalau sakit panggil bomoh.
"Di Kelantan ada balai polis? Tak ada, kalau bergaduh panggil tok penghulu," katanya yang tak henti-henti berjenaka sepanjang ceramah 45 minitnya itu.
Berurcap dalam majlis yang sama sebelum itu, dua pemimpin DAP Anthony Loke (ketua pemuda) dan exco kerajaan Selangor Ronnie Liu. Ceramah itu merupakan yang pertama disertai DAP setelah empat hari berkempen.
Sebelum ini 'kegagalan' DAP dan PAS turut berkempen lebih giat mengundang pertanyaan media, terutamanya kepada naib presiden PAS dan pengarah pilihan rayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim kelmarin menafikannya dan mendakwa jentera DAP turut terlibat tetapi mungkin tidak dikenali kerana memakai baju PAS.
Dalam ucapannya, Ronnie menerangkan kepentingan pengundi Kerdau memilih calon PAS sebagai permulaan supaya wujudnya sistem dua parti di Malaysia dan supaya rakyat menjadi "bos" sebenar.
"Sekarang dalam pilihan raya kecil kita jadi bos. Tak minta pun dia (BN) bagi. Tetapi selepas itu, dialah yang jadi bos," katanya.
Manakala Anthony pula mengambil peluang menegaskan bahawa DAP bukanlah parti anti-Melayu dan Islam, seperti yang telah disepakati dalam perjanjian ketiga-tiga parti dalam Pakatan.