Calon PAS bagi DUN Merlimau, Yuhaizad Abdullah mencabar Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membuktikan bahawa kuarters sekolah yang didiaminya bersama isterinya yang merupakan seorang guru, adalah milik Umno.
Yuhaizad membuat cabaran tersebut sebagai menjawab kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan calon PAS itu sebagai tidak mengenang budi kerana tinggal di kuarters sekolah bersama isterinya itu, tetapi bertanding sebagai calon PAs.
"Saya mencabar Umno dan beliau (Muhyiddin) untuk buktikan kompleks (kuarters itu) dibina oleh Umno," katanya dalam satu sidang akhbar bersama di pusat operasi pilihan raya DAP, dekat pekan Merlimau.
Katanya, jika Umno dan Muhyiddin dapat membuktikan sedemikian, beliau akan berpindah malam ini.
Jika tidak, kata Yuhaizad berkata, beliau akan terus tinggal di situ bersama isterinya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap keluarganya.
Semalam, Muhyiddin menyuarakan rasa kecewanya terhadap Yuhaizad dan keluarganya yang tinggal di kuarters sekolah tetapi bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil Merlimau.