Seorang bekas pegawai polis memberitahu dia dan pasukannya telah merampas beberapa barang kes di lokap Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Supritendan Amidon Anan, 60, saksi ke-15 pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini antara yang dirampasnya adalah sehelai rambut, sehelai tuala 'good morning' dan sebatang berus gigi.
Amidon adalah bekas ketua bahagian siasatan tempat kejadian (CSI) Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur daripada tahun 2005. Beliau bersara pada Ogos 2008.
Katanya, pemeriksaan di lokap berkenaan dilakukan berikutan arahan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah.
Katanya, di D9, terdapat satu lokap dan satu sel.
"Ia dikunci dan dikawal oleh dua polis. Apabila saya tiba konstabel Adnan Safril membuka lokap itu dan saya masuk ke dalam sel itu yang juga dikunci.”
Amidon berkata beliau memerhatikan keadaan sekitar dan menjumpai sehelai bulu, botol air minuman Cactus, berus gigi dan tuala 'Good Morning'.
Semua barangan itu ditanda dan Amidon berkata jurugambar dipanggil merakamkannya.
Apabila ditunjukkan gambar itu, hari ini Amidon: "Inilah bulu yang saya rampas.”
Peguam bela, Karpal Singh membantah apabila barangan tersebut ditandakan sebagai barangan bukti dan memohon perbicaraan dalam perbicaraan.
Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah bertanya asas permohonan Karpal dan memutuskan bulu itu akan ditanda sebagai ID57 (identifikasi).
Amidon kemudian mengenal-pasti berus gigi dan tuala 'Good Morning' dan ia ditanda sebagai eksibit ID58 (berus gigi) dan ID59 (tuala).
Sebelum itu, Amidon berkata dia dihubungi pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Perera yang meminta bantuannya untuk membuat siasatan forensik terhadap barang kes ke atas dua buah unit di kondo berkenaan.
Amidon berkata dia telah mengambil gambar sebelum merampas sehelai bulu, sebidang permaidani dan sehelai selimut untuk dibawa menjalani proses 'profiling' DNA.
Mahkamah kemudian ditunjukkan barang kes yang dirampas di unit 11-5-1 dan 11-5-2 kondo berkenaan pada hari yang sama.
'Lelaki Y'
Perbicaraan kes hari ini juga dijangka hangat dengan usaha pihak pendakwaan mengaitkan sampel DNA yang diperolehi daripada botol air minuman, berus gigi dan tuala dengan ‘Lelaki Y’ berdasarkan keterangan tiga saksi sebelum ini.
Setakat ini, pihak pendakwaan belum mendedahkan daripada mana mereka memperolehi barangan itu yang secara positif dikenalpasti oleh ahli kimia Nor Aidora Saedon mengandungi DNA ‘Lelaki Y’.
Persoalan yang ditimbulkan adalah sama ada sampel berkenaan diperolehi secara sah ataupun tidak.
Setakat ini, juga pihak pendakwaan belum cuba mengaitkan perkara tersebut secara langsung dengan Anwar kecuali pada rakaman CCTV yang dipercayai menunjukkan ketua pembangkang itu keluar masuk di kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.
Imej yang dipercayai adalah pengadu kes ini, Mohd Saiful Bukhari Azlan juga dapat dilihat.
Bagi pihak pembelaan, mereka masih belum selesai menyoal-balas,ASP Fauziah Che Mat, yang menjelaskan kepada mahkamah bahawa beliau diminta mengenal-pasti dan mencetak imej tujuh orang yang tidak disebutkan nama mereka.