Pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal berkata terdapat kesilapan dalam keterangannya ketika inkues kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock yang berakhir bulan lalu.
Ahmad Nazri hari ini mengakui kesilapannya itu kepada Suruhanjaya Diraja dengan berkata beliau keliru identiti pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekalkannya salinan kad pengenalan Teoh dengan orang lain.
Dalam keterangan hari ini, Ahmad Nazri berkata beliau silap apabila peguam dari Majlis Peguam menyoalnya berhubung kejadian apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian pada tengahari 16 Julai 2009.
Beliau kemudian dengan cepat memperbetulkan kesilapan itu dengan mennjelaskan bahawa pegawai penguatkuasa SPRM yang hanya dikenali sebagai Azian yang memberikannya salinan kad pengenalan Teoh dan bukannya Zurinawati Zulkifli, seseorang yang disebutnya pada inkues yang lalu.
“Zurinawati adalah orang yang menunjukkan saya beg Teoh di sofa. Bukan dia yang memberi saya salinan IC itu,” katanya.
Ahmad Nazri semasa memberikan keterangannya juga berkata beliau tidak membuat siasatan terperinci bagi setiap laluan yang mempunyai “access card" ketika membuat membuat pemeriksaan di tingkat 14 dan 15, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam
"Apakah tugas kamu sebagai pegawai penyiasat dalam kes ini... adakah hanya membuka dan menutup kertas siasatan?” soal pengerusi suruhanjaya Tan Sri James Foong Cheng Yuen.
Ahmad Nazri menjawab: “Saya hanya ada masa dalam tujuh hari bagi menyiapkan kertas siasatan (IP) untuk diserahkan kepada Mahkamah Koroner.”
Seorang anggota panel suruhanjaya itu, Datuk T Selventhiranathan yang juga bekas hakim mahkamah Rayuan kemudiannya mencelah dengan berkata: "Masa tujuh hari tidak mencukupi untuk menyiapkan kertas siasatan yang lengkap dan terperinci... adakah kamu pernah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kamu perlukan masa yang lebih untuk menyiapkan kertas siasatan itu?”
Ahmad Nazri memberitahu beliau tidak ingat.
Suruhanjaya itu juga mengumumkan pelantikan seorang bekas anggota polis dari Liverpool, England, Michael Leslie Squires sebagai penyiasat bebas bagi membantu mereka.