Kerajaan Persekutuan mahu menjadi sebagai pencelah dalam saman yang difailkan kerajaan negeri Kelantan terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengenai royalti minyak.
Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan 22 Mac untuk mendengar permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu.
Hakim menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mengadakan perjumpaan dengan peguam Alan Gomez yang mewakili kerajaan negeri Kelantan, peguam Rishwant Singh yang mewakili Petronas dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dari Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan semasa kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini.
Dalam saman yang difailkan pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan negeri Kelantan hanya menamakan Petronas sebagai defendan.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Nov lalu, antara alasan yang dikemukakan oleh kerajaan Malaysia ialah kerajaan Malaysia wajar dijadikan defendan dalam kes ini, supaya semua perkara yang dipertikaikan boleh diputuskan dan dihakimi dengan berkesan dan selengkapnya.
Ia juga agar persoalan dan isu-isu perundangan yang berbangkit atau berhubung dengan relif yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan adalah adil dan sesuai diputuskan antara kerajaan Malaysia dan Petronas.
Kerajaan negeri Kelantan menyaman Petronas atas dakwaan telah melanggar kontrak berhubung pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan berhubung pendapatan minyak.
Dalam pernyataan tuntutan, kerajaan negeri itu antara lain memohon supaya dikeluarkan perintah terhadap Petronas agar membuat bayaran penuh dan mendedahkan semua fakta berkaitan dengan pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada Kelantan, termasuk sepanjang tempoh petroleum dikeluarkan, ditemui atau diperolehi di luar pesisir Kelantan; kawasan atau blok dari tempat petroleum itu ditemui atau diperolehi; dan jumlah pembayaran wang tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.
Kerajaan negeri itu juga memohon semua bayaran wang tunai tertunggak yang ditentukan oleh mahkamah perlu dibayar dalam masa sebulan dari tarikh perintah mahkamah dikeluarkan.
Selain itu, Kelantan juga memohon dikeluarkan perintah bahawa semua bayaran wang tunai di masa depan, bagi petroleum yang dikeluarkan dari kawasan luar pesisir sepertimana ditetapkan dalam perjanjian petroleum itu, perlu dibayar kepada negeri oleh Petronas.