Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pihak pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menarik balik pembatalan kemenangan kesemua 11 kerusi yang dimenangi kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) dalam pilihan raya kampus kelmarin.

Keputusan menarik balik pembatalan tersebut terkandung dalam surat yang ditandatangani timbalan naib canselor halehwal pelajar UPM, Prof Dr Fauzi Ramlan yang dikeluarkan kira-kira jam 1 tengahari tadi.

Perkara itu disahkan oleh jurucakap majlis politik nasional, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), Ahmad Syukri Kamaruddin.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Syukri berkata, pembatalan kemenangan calon pro-M itu ditarik balik selepas pihak pentadbiran UPM mendapati kesilapan kecil

NONE Pagi tadi, lebih 100 pelajar pro-Mahasiswa (pro-M) sedang berkumpul di hadapan bangunan pentadbiran UPM bagi membantah pembatalan kemenangan 11 daripada calonnya dalam pilihan raya kampus semalam.

Kesemua 11 calon pro-M itu dihubungi melalui telefon pada jam 9 malam semalam. Mereka kemudiannya diberikan surat rasmi yang mengatakan bahawa kemenangan mereka telah dibatalkan.

Surat itu ditandatangani oleh ketua unit disiplin, hal ehwal pelajar UPM, Noraihan Nordin.

Kesebelas mereka diberi tempoh sehingga jam 10 pagi ini untuk merayu tetapi terpaksa membayar RM100 setiap orang bagi berbuat demikian.

Kumpulan pro-M menganjurkan bantahan mereka sebaik menerima keputusan pembatalan kemenangan mereka sejak jam 10 malam semalam. Setakat ini, tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Dr Mohd Fauzi berkata, terdapat tiga bantahan yang ditolak berhubung pilihan raya kampus kelmarin.

Menurutnya, dua bantahan tersebut adalah tidak berasas kerana di luar skop pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2011.

Satu lagi bantahan, turut ditolak kerana kesalahan teknikal.

"Justifikasi penolakan berdasarkan skop peraturan-peraturan UPM (pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2011). Berikutan itu, keputusan tidak rasmi kemenangan 43 ahli MPP UPM itu kekal," katanya.

Berikutan, katanya, mereka yang masih berpuashati dengan keputusan bantahan tersebut, boleh mengemukakan rayuan sebelum diisytiharkan kemenangan tersebut secara rasmi hari ini.

ADS