Hukuman penjara terhadap dua pekerja ladang, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, yang didakwa melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain ditambah daripada tujuh tahun kepada 20 tahun selepas Mahkamah Tinggi meminda hukuman itu.
Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki memutuskan demikian setelah berpendapat kesalahan yang dilakukan mereka sangat serius.
Pada 15 Okt tahun lalu, Sarawanan, 20, dan Suresh, 27, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas empat tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pegawai bank Norhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001 Jalan Tanjung Layang Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos tahun lalu manakala Suresh didakwa melakukan kesalahan itu di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada tarikh yang sama.
- Bernama