Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM yakin negara ulangi ekonomi membanggakan
Diterbitkan:  Feb 19, 2011 7:54 PM
Dikemaskini: Feb 20, 2011 1:55 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara mampu mengulangi pencapaian ekonomi yang membanggakan tahun ini jika momentum pertumbuhan ekonomi berterusan meskipun berhadapan dengan cabaran luar yang tidak menentu.

Bangga dengan pencapaian negara yang mencatat pertumbuhan ekonomi 7.2 peratus tahun lepas, dan menyifatkannya sebagai pencapaian tertinggi ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun, Najib berkata ia didorong oleh langkah pengenalan dua pakej rangsangan ekonomi, selain pengurusan kewangan dan pengurusan sistem perbankan negara yang mempunyai kecairan serta pemantauan yang sangat baik oleh Bank Negara.

"Dan, tahap keyakinan berasaskan kepada ETP (Program Transformasi Ekonomi) kita telah menampakkan apa yang kita harapkan. Kita sasarkan enam peratus, namun kita dapat 7.2 peratus.

"Saya percaya jika kita dapat meneruskan momentum ini, maka pencapaian yang membanggakan juga boleh kita capai untuk tahun 2011, walaupun menghadapi cabaran yang lebih besar untuk mencapai sasaran itu jika permintaan luar ataupun pasaran luar, lemah," kata Najib yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita, di Jasin hari ini.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kini dalam rangka lawatan kerja sehari ke Melaka. Beliau diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Semalam, Bank Negara mengumumkan ekonomi negara mencatat pertumbuhan 7.2 peratus, angka tertinggi sejak 2000, susulan pemulihan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, selain sektor eksport dan import yang semakin cergas.

Kerajaan yang melaksanakan pakej rangsangan membabitkan peruntukan RM67 bilion dua tahun lepas untuk merangsang ekonomi yang teruk terjejas akibat kelembapan dunia, sebelum ini mengunjurkan keluaran dalam negara kasar berkembang lebih 6.0 peratus tahun lepas. Tahun ini, pertumbuhan dijangkakan antara 5.5 dan 6.0 peratus.

Dalam pada itu, Najib berkata permintaan dalam negara adalah kukuh.

"Kita boleh lihat dari segi tambahan pelaburan domestik dan FDI (Pelaburan Langsung Asing) serta perbelanjaan penggunaan yang terus meningkat pada kadar yang tinggi manakala inflasi masih dikawal pada paras dua peratus.

Najib berkata beliau dapat melihat keceriaan penduduk di Merlimau itu yang memberi gambaran bahawa masyarakatnya, baik di kawasan bandar dan pinggir bandar, mendapat limpahan kesan daripada pertumbuhan ekonomi, seperti kontraktor-kontraktor besar kecil dapat projek.

"Dan, mereka yang merupakan pekebun-pekebun kecil, dapat keuntungan daripada peningkatan harga getah dan sawit, dan ini bererti bahawa kekayaan dalam negara kita ini dapat dirasai oleh rakyat jelata," katanya.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS