Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kira-kira 50 aktivis Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) berarak membawa replika keranda serta berkumpul di bangunan pentadbiran bagi membantah tindakan universiti yang didakwa menghalang calon mereka daripada bertanding dalam pilihan raya kampus.

Selepas berjaya menyerahkan memorandum itu hampir jam 4 petang tadi, seorang pelajar dilihat mengeluarkan 'jenazah' daripada 'keranda' itu dan menyiramkan dengan cecair berwarna merah.

NONE Ia kemudiannya diikuti dengan laungan "hidup mahasiswa" daripada peserta yang hadir.

Semalam dalam bantahan untuk kes yang sama di Universiti Malaya (UM), gimik yang hampir sama diadakan kumpulan itu apabila membaringkan empat patung mayat.

Memorandum itu juga menggesa supaya pilihan raya kampus itu ditunda kerana mendakwa terdapat campurtangan sebuah parti politik.

Mereka mendakwa bahawa perkara itu dikesan melalui satu kempen pilihan raya yang diadakan antara 7 hingga 9 Januari lalu yang didakwa dihadiri presiden parti itu.

Tajaan RM59,000 parti luar

Memorandum itu mendakwa parti itu menyumbangkang RM59,000 bagi membantu calon tajaan mereka di seluruh kampus di Malaysia.

NONE Sebelum itu, kumpulan itu yang diketuai pengerusi pro-M Syed Syafiq Syed Hashim itu pada awalnya berkumpul sejak jam 2.40 petang di sebuah kawasan letak kereta.

Pelajar berkenaan kemudiannya berarak dengan membawa sepanduk, antaranya bertulis "Mahasiswa tolak campur tangan parti politik" dan "parti politik jangan masuk campur."

Sepasukan kira-kira 10 orang anggota keselamatan kampus, turut berkawal di bangunan pentadbiran tersebut.

Pasukan berkenaan menghalang kumpulan pelajar berkenaan di perkarangan bangunan pentadbiran itu pada kira-kira jam 3 petang.

Lima orang wakil pelajar itu bagaimanapun dibenarkan menghantar memorandum kepada pihak pentadbiran, setelah rundingan selama kira-kira 10 minit.

Lima wakil

NONE Selain Syed Syafiq, turut dibenarkan presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM Muhamad Hazim Mohd Noh dan wakil Gerakan Mahasiswa Maju kampus itu Swee Nee.

Dua lagi yang turut serta ialah pelajar yang dibatalkan pencalonan bagi pilihan raya kampus itu -- Mohd Akmal Hakim dari Fakutli Bioteknologi dan Zuhairah Hayati Mohd Zureth dari fakulti sama.

Memo dihantar kepada naib canselor universiti Datuk Dr Radin Omar.

Ketika berarak, kumpulan pelajar berkenaan turut melaungkan pelbagai slogan antaranya "bangkit mahasiswa, "hancur kezaliman" dan "tolak penindasan."

Semalam, pencalonan enam calon kumpulan pelajar pro-M universiti itu ditolak atas alasan borang pencalonan mereka tidak lengkap.

Mereka antara 41 calon pro-M yang mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kampus yang dijadualkan Isnin depan.

Sebanyak 43 kerusi dipertanding tahun ini di UPM, meliputi tujuh kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan empat kerusi siswazah.

ADS