Pendidikan Seks atau Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) hari ini rasmi menjadi subjek untuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Perasmian PKRS sebagai subjek dalam PLKN disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Kem PLKN Sri Perkasa di Seremban.
Ketika berucap, menteri itu berkata subjek PKRS diharap dapat membimbing seramai 100,000 remaja pada setiap tahun mengenai kemahiran hidup berkeluarga, kemahiran menjalinkan hubungan positif antara gender seperti hormat dan menghormati di antara lelaki dengan perempuan..
Beliau berkata kementeriannya akan melatih seramai 1,500 fasilitator untuk mengajar subjek itu di kem-kem PLKN di seluruh negara tidak lama lagi.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Shahrizat berkata anak muda perlu diberikan maklumat yang betul dan berhemah mengenai seks supaya mereka memahami tindakan yang akan mereka ambil dalam soal itu dan memikirkan akibat perbuatan itu.
"Kumpulan pelatih PLKN ini adalah di peringkat umur yang perlukan bimbingan. Misal kata, jika mereka berkecimpung dalam seks bebas, mereka akan tahu implikasi dan risiko yang bakal ditanggung," katanya.
Beliau mengharapkan inisiatif kementeriannya akan dapat mengurangkan kadar tingkahlaku berisiko di kalangan golongan muda seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan internet dan kehamilan luar nikah.
Subjek PKRS akan diajar dalam bentuk interaktif kepada para pelatih PLKN supaya ianya tidak membosankan, kata Shahrizat.
Katanya Modul Kesejahteraan Hidup dalam PKRS mengandungi tajuk mengenai gender, kekeluargaan, kesihatan reproduktif dan isu-isu keganasan yang dibangunkan oleh pakar-pakar daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Kesihatan, Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan
Reproduktif Malaysia (FRHAM), Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM), Pertubuhan Pertolongan Wanita dan Pasific Outreach.
Pada majlis itu, tetamu dihiburkan penyanyi Sohaimi Mior Hassan berduet dengan artis remaja, Heliza menyampaikan lagu yang penuh pesanan untuk menjauhi pergaulan bebas ketika berkasih bertajuk "Jika Berpacaran".
- Bernama