Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah tiga kali ditunda, siasatan dalaman Utusan Melayu (M) Berhad terhadap wartawannya Hata Wahari ditetapkan pada 21 Februari depan.

Hata yang juga presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh seorang exconya baru-baru ini.

NONE "Saya akan hadir," katanya yang dituduh menyindir pengurusan Utusan dan memburukkan imej syarikat melalui pelbagai portal berita dan akhbar, termasuk Malaysiakini .

Pada 25 Januari lalu, ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Utusan di Cheras untuk prosiding itu, Hata terpaksa melencong ke di Pusat Rawatan Islam, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur kerana mengalami sakit dada. Beliau ditahan di wad beberapa hari.

Sementara pada 9 Februari lalu, tarikh baru yang ditetapkan Utusan, beliau sekali lagi tidak dapat hadir kerana perlu menjalani rawatan susulan yang dinasihatkan doktor sekurang-kurangnya setiap dua minggu sekali.

"Jadi, saya tak bolehlah nak ikut masa (yang diberikan) Utusan. Kesihatan saya lebih penting," jelasnya.

Tetap mahu diwakili SU NUJ

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hata juga berkata akan tetap melantik setiausaha NUJ V Anbalagan bagi mewakilinya walaupun isu kesesuaiannya dibangkitkan oleh pengerusi inkuiri Mohd Basir Abdul Rahim.

"Memang boleh wakil NUJ pusat wakili anggotanya. Sudah ada banyak kes tidak menjadi masalah," katanya.

NONE Pada 17 Februari lalu ketika prosiding pertama kali, Mohd Basir setelah 20 minit, menangguhkan sesi itu bagi membuat keputusan berhubung kesesuaian Anbalagan (gambar kanan, baju putih) dipilih mewakili Hata.

Anbalagan - wartawan di New Straits Times - mendakwa majikan Hata tidak menjalankan prosedur itu dengan sempurna.

Selepas dipilih menjadi presiden baru NUJ dengan keanggotaan 1,300 wartawan, Hata membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'.

Pandangan dan kritikannya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.

Jika dipecat, Hata bukan wartawan pertama dari Utusan yang akan menerima nasib sedemikian.

Pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS