Runtuhnya ego Presiden Mesir Hosni Mubarak yang dianggap 'Firaun Terakhir' apabila melepaskan jawatan yang dipegangnya
selama 30 tahun pada 11 Februari lepas, dilihat masih belum mampu menjamin 'kemakmuran' yang diidam-idamkan rakyat negara itu.
Walaupun rakyat Mesir dianggap mencapai kemenangan pertama sejurus selepas pengunduran Hosni diumumkan naibnya Omar Suleiman, namun teka-teki masih menyelubungi bila dan siapakah yang akan diberi mandat untuk menjadi pemimpin negara itu dalam pilihan raya umum (PRU) yang dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya September ini.
Ketika ini, pemerintahan Mesir telah diletakkan di bawah kawalan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera diketuai oleh Mohammed Hussein Tantawi, seorang daripada sekutu rapat Hosni sendiri.
Beberapa ahli akademik berpendapat, keadaan di Mesir memerlukan tempoh yang cukup panjang sebelum keamanan dapat dikecapi sepenuhnya, ekoran tampuk pemerintahan di bawah tentera dilihat masih belum memenuhi kehendak sebenar rakyat Mesir.
Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, rakyat Mesir masih berasa sangsi terhadap keikhlasan janji tentera untuk melepaskan pemerintahan dan janji-janji proses perangkaan perlembagaan baru.
"Mereka (penduduk Mesir) masih ragu-ragu tentang Majlis Tertinggi Angkatan Tentera kerana ahli-ahli majlis itu dilantik oleh Hosni.
"Itu adalah orang-orang kepercayaan Hosni, jadi saya lihat sukar sekali bagi tentera Mesir untuk memenuhi kehendak masyarakat negara itu kerana tentera juga perlu menjaga kepentingan Hosni dan tentera sendiri," katanya kepada Bernama hari ini.
Hosni meletakkan jawatan berikutan demonstrasi jalanan selama 18 hari yang mendesak beliau mengundurkan diri.
Azmi berkata, sejarah menunjukkan faedah yang diperolehi pihak tentera sewaktu pemerintahan Hosni merupakan antara faktor yang boleh menjadi penyebab utama keengganan tentera melepaskan pemerintahan.
Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling juga berpendapat, pemimpin yang baru pasti terdiri daripada orang-orang lama Hosni.
Beliau berkata, jika penduduk Mesir memilih pemimpin dari parti pembangkang dalam pilihan raya kelak untuk menerajui negara itu, faktor kerapuhan pengalaman yang dimiliki pembangkang di Mesir akan menjadi penyulit dalam urusan
pentadbiran negara.
"Dalam politik Mesir, objektifnya adalah memastikan Hosni turun, namun potensi untuk mencapai satu peralihan kemajuan secara mendadak melalui pemimpin pembangkang akan lalui proses yang sulit kerana kekurangan pengalaman
memandangkan tampuk pemerintahan dipegang sekian lama oleh Hosni.
"Bagi saya, pengalaman dalam urusan pentadbiran negara bukanlah satu benda boleh dipandang ringan kerana ia bukan memerlukan pendidikan yang tinggi semata-mata, tetapi juga pengalaman kerana itulah yang akan jadi aset penting untuk melicinkan urusan tadbir negara kelak," katanya.
Tambahnya lagi, pakatan pembangkang yang terbesar Mesir iaitu Ikhwanul Muslimin telah diharamkan sebelum ini, dan memerlukan masa untuk melalui proses yang sewajarnya sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kelak.
Menurut Mohamad Faisol, adalah tidak mustahil rakyat Mesir akan meneruskan proses demonstrasi sekali lagi jika mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran yang baru, memandangkan kejayaan mereka menundukkan Hosni melalui cara itu
sebelum ini.
Pensyarah Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Mohd Noor Mad Yazid juga tidak menolak kemungkinan kestabilan Mesir akan bergolak kembali sekiranya tentera tidak memenuhi janji
mereka untuk melepaskan kuasa.
Beliau berkata, sekiranya ditakdirkan tentera enggan melepaskan pemerintahan, potensi rakyat Mesir untuk melakukan demonstrasi dilihat tinggi berdasarkan apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.
"Negara Mesir akan aman kembali sekiranya tentera tidak mengenepikan kehendak rakyat yang begitu inginkan perubahan...susun semula perlembagaan Mesir, serta memastikan perlembagaan tersebut mengandungi perkara pelantikan
presiden dalam tempoh masa tertentu.
"Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, rakyat akan bertindak semula, mereka menganggap perbuatan mereka sebagai jihad demi kepentingan negara," katanya.
--Bernama