Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konsert 'Bob Dylan' Iran di KL ditolak
Diterbitkan:  Feb 14, 2011 7:54 PM
Dikemaskini: 11:58 AM

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengesahkan bahawa konsert Mohsen Namjoo yang dijadualkan pada Jumaat ini, tidak dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dari segi agama, budaya dan kemasyarakatan pelbagai kaum di negara ini.

NONE Dalam satu kenyataan, beliau berkata permohonan daripada penganjur Jumaat lepas, ditolak hari ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK Puspal), lapor Bernama .

Penyanyi kelahiran Iran yang digelar 'Bob Dylan' oleh New York Times satu sejak dulu mendapat banyak tentangan daripada rakyat Malaysia kerana dikatakan menghina Islam dalam lagunya.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dilapork antara yang mendesak pembatalan konsert artis kontroversi itu.

Menurut Jamil Khir, siasatan yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan lagu-lagu penyanyi itu mempunyai unsur-unsur yang menghina al-Quran dan Islam.

"Dikhuatiri jika diteruskan (konsert) itu boleh menimbulkan ketidakharmonian masyarakat," beliau dipetik sebagai berkata kepada agensi berita nasional itu.

Mohsen, 35, dikatakan menggunakan ayat al-Quran dan menyampaikannya dalam bentuk menghina kitab suci itu.

Pada Jun 2009, penyanyi itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di Iran kerana tidak menghormati kesucian agama Islam selain memperlekeh al-Quran.

Bagaimanapun beliau terlepas daripada hukuman itu kerana menetap di Vienna, Austria.

ADS