Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yakin bahawa mereka akan memenangi 21 daripada 37 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus pada 21 Februari ini.
Menurut ahli majlis Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia GMUKM Mohd Hilman Idham, ini kerana sokongan dan kedudukan semasa di kampus berkenaan kini memihak kepada kumpulan tersebut.
"GMUKM menyatakan keyakinan penuh untuk memenangi piloihan raya kampus pada tahun ini dan membentuk PMUKM (Pewakilan Mahasiswa UKM) dengan majoiti mudah," katanya.
Dalam sidang media di Bangsar pagi ini, Mohd Hilman berkata mereka menjangkakan bakal mendapat kejayaan di tujuh kerusi umum, 11 kerusi fakulti dan 3 kerusi siswazah.
Di peringkat fakulti, Mohd Hilman yakin mempertahankan kubu kuat mereka Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina - masing-masing 2 kerusi.
Malah, beliau juga yakin Pro-Mahasiswa akan mengekalkan kemenangan di Fakulti Pendidikan, Fakulti Undang-undang, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Fakulti Farmasi.
"(Bagi) kerusi siswazah pun, mereka (kini) bersama-sama dengan pro-M," katanya sambil menambah ia merupakan peraturan baru yang pertama kali diperkenalkan pada tahun ini.
Peraturan baru
Kerusi siswazah antara pembaharuan di samping beberapa beberapa peraturan baru diperkenalkan oleh universiti dalam pilihan raya kampus UKM kali ini.
Dalam pilihan raya tahun lalu , kumpulan yang sering dilabel kritikal pada pentadbiran kampus itu mendapat 15 daripada 35 kerusi yang berbanding pro-Aspirasi yang memenangi 19 kerusi. Calon bebas mendapat 1 kerusi.
Selain itu, mengulas peraturan baru yang diperkenalkan, antaranya penambahan kerusi umum dan pengurangan kerusi di kubu kuatnya di Fakulti Pendidikan, disifatkan sebagai "agenda" untuk mengurangkan kemenangan mereka.
"Penambahan kerusi umum (untuk tahun satu dan dua), saya melihat satu cara untuk mengabui mata kerana (kerusi umum itu) memang kuat pro-Aspirasi," katanya.
Mohd Hilman juga mempertikaikan tindakan UKM yang seperti biasa didakwa enggan menunjukkan daftar pemilih kepada pelajar.
Selain itu, tambahnya, kumpulan itu juga kecewa dengan pengurangan tempoh mengundi selama sejam di universiti itu.