Pendedahan media mengenai terdapatnya penjualan tiket loteri haram dan pelacuran yang masih bergerak bebas di bandar Kota Bharu membuktikan Kelantan bukanlah negeri "bersih" segala-galanya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Katanya, pemimpin kerajaan negeri dari PAS perlu mengakui mereka sebenarnya telah gagal membasmi gejala itu serta merasa malu dengan keadaan tersebut.
"Ini bukan perkara baru kerana ia berlaku secara tidak berselindung lagi dan jika mendakwa Kelantan adalah negeri berlandaskan Islam, perkara itu perlu ditangani segera.
"Pendedahan media ini membuktikan segalanya bahawa gejala judi dan maksiat masih gagal ditangani dan ia agak memalukan kerana berlaku di negeri yang kononnya ditadbir secara Islam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Merah peringkat Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia dua hari lalu melaporkan terdapat premis yang menjual tiket loteri secara haram dan bebas dibeli termasuk umat Islam di bandar itu.
Sebuah laman blog pula turut mendedahkan sebuah kawasan di bandar itu turut dijadikan tempat melepaskan nafsu yang terdapat pelacur yang bukan sahaja wanita tetapi juga daripada kalangan pondan.
Mengulas perkara itu, Mustapa berkata keadaan itu boleh diibarat kerajaan negeri sebenarnya "cakap tidak serupa bikin" dan yakin bukti itu tidak akan diakui oleh pemimpinnya.
Sementara itu, Mustapa yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, berkata program Gelombang Merah itu akan diperluaskan ke beberapa kawasan Parlimen secara berperingkat.
"Program ini telah melalui fasa yang pertama manakala fasa yang kedua kita akan menumpukan kepada tindakan bagi memastikan Barisan Nasional dan Umno sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum," katanya.
- Bernama