Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Valentine bukan amalan Kristian
Diterbitkan:  Feb 11, 2011 4:54 PM
Dikemaskini: Feb 12, 2011 1:57 AM

Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) hari ini menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menarik balik andaiannya dalam satu fatwa yang dibuat pada 2005 berhubung amalan orang Islam dan Hari Valentine.

Setiausaha agung CCM Hermen Shastri berkata, majlis fatwa itu telah membuat kesimpulan yang salah dengan menyatakan Hari Valentine sebagai satu acara keagamaan Kristian.

Hermen dalam satu kenyataan hari ini berkata kesimpulan itu telah "mengguris perasaan masyarakat Kristian" di Malaysia.

“Hari Valentine merupakan satu amalan sekular, dan ia tidak disambut secara keagamaan di Malaysia atau mana-mana tempat di dunia," katanya.

Jelasnya, walaupun perkataan Valentine itu membayangkan kaitan dengan seorang santo dalam ajaran Kristian, pihak berkuasa gereja Roman Katolik mahupun Protestan tidak menyokong kaitan tersebut.

Hermen juga berkata, saranan bahawa Hari Valentine disambut oleh penganut Kristian dalam fatwa itu merupakan satu tindakan "tidak adil" dan "mengelirukan."

Pada 2005, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan satu fatwa yang menghalang orang Islam daripada menyambut Hari Valentine kerana sambutan itu didakwa "bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam."

 

Fatwa yang dikeluarkan itu menyebut: "Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah."

Dalam alasan yang dikemukakan bersama fatwa berkenaan, majlis tersebut turut menyebut mengenai seorang santo berpengaruh bernama Velentino pada waktu pemerintahan Ratu Isabelle di Sepanyol.

"(Valentino) merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan Kristian terhadap Islam.

"Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol," dokumen tersebut dipetik.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS