Kritikan bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R. Malott, terhadap negara ini disifatkan sebagai luahan perasaan seseorang yang sudah ketinggalan zaman.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata sebagai seorang diplomat, Malott tidak seharusnya memihak ataupun mempunyai pendirian yang jelas menunjukkan lunas politik beliau.
"Semasa beliau menjadi duta di Kuala Lumpur, Malott mengecapi segala kemodenan dan kemajuan tanah air kita, tinggal lagi beliau memang meminati pembangkang. Jadi, kita meluahkan perasaan jijik dengan duta seperti itu.
"Kita harus melihat beliau sebagai pengamal politik yang tak ada kurang atau lebih daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sebagai salah seorang (anggota) PKR di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Presiden MIC Datuk G. Palanivel di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah artikel bertajuk "The Price of Malaysia's Racism" dalam The Asia Wall Street Journal baru-baru ini yang mana Malott mengkritik gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malott antara lain berkata ketegangan kaum dan agama lebih tinggi pada masa kini berbanding sebelum Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009.
Rais berkata kritikan Malott itu tidak berasas kerana sistem keadilan, sistem Parlimen dan pendidikan negara mewujudkan warga gagasan 1Malaysia itu, adalah satu realiti yang tidak difahami oleh orang seperti Malott.
"Saya berasa agak ganjil kenapa The Asia Wall Street Journal sanggup mengeluarkan artikel seperti ini," katanya.
Rais berkata artikel itu merupakan satu tulisan yang mempunyai tujuan politik kotor.
- Bernama