Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pengasas Puncak Niaga (M) Sdn Bhd Tan Sri Rozali Ismail dan dua yang lain untuk menggantung pelaksanaan pembayaran sejumlah RM35 juta terhadap seorang penasihat korporat berhubung ganti rugi pecah kontrak yang membabitkan satu projek berkaitan air, tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk N Vijay Kumar yang mewakili plaintif dan Tan Sri Datuk Cecil Abraham yang mewakili pihak defendan di dalam kamarnya hari ini.
Pada 8 Dis 2010, Rosilah memerintahkan Rozali dan dua yang lain membayar ganti rugi pecah kontrak sejumlah RM35 juta itu.
Dalam writ saman yang difailkan pada 26 Sept 2005, Lim Pang Cheong @ George Lim selaku plaintif telah mengemukakan tuntutan itu terhadap Rozali, 54, yang juga pengerusi eksekutif syarikat WWE Holdings Berhad, selaku defendan pertama.
Dua yang lain adalah Mat Hairi Ismail, 49, yang juga adik kepada Rozali berjawatan pengarah urusan dan pemegang saham syarikat berkenaan dan WWE Holdings Berhad, selaku defendan ketiga.
Dalam tuntutannya itu, Lim mendakwa antara hujung bulan Februari atau Mac 2004, defendan pertama meminta plaintif untuk memperolehi suatu projek yang dikenali sebagai "Jelutong Sewage Treatment Plant and Central Sludge Facility" bagi ketiga-tiga defendan dan plaintif akan diberi upah sekiranya projek itu berjaya diperolehi.
Pada 14 Okt 2004, defendan ketiga telah mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu telah berjaya memperolehi projek berkenaan dari Kerajaan Malaysia pada 23 Sept 2004 dan jumlah kontrak adalah RM468.3 juta.
Selaras dengan perjanjian itu, Lim mendakwa beliau berhak untuk diberi upah sebanyak RM23.4 juta. Bagaimanapun, beliau mendakwa pembayaran upah kepadanya ditunda dengan alasan penundaan bayaran dari kerajaan Malaysia terhadap projek itu dan juga defendan ketiga mempunyai masalah kewangan.
Berdasarkan tuntutannya itu, Lim memohon ganti rugi untuk pecah kontrak sejumlah RM23.4 juta, atau mana-mana jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, faedah, kos dan relif-relif lain yang dianggap sesuai.
Ketiga-tiga defendan, dalam pembelaannya, mendakwa mereka tidak pernah membuat perjanjian mengenai projek itu dengan Lim.
- Bernama